Oleh Dr. Syed Ali Tawfik al-Attas
PADA bulan Jun yang lepas, selepas berbulan-bulan mengimbas serta mengumpul cerita-cerita jenaka yang telah diriwayatkan kepada saya oleh ahli-ahli keluarga dan sahabat-sahabat saya, cerita-cerita jenaka yang telah diriwayatkan kepada mereka melalui rangkaian budaya mereka, telah saya himpunkan di dalam sebuah buku bertajuk Eh! Wat Yu Talking, yang seterusnya diterbitkan oleh pihak Malaysian Publishing House (MpH).
Sesungguhnya, sejumlah besar cerita-cerita tersebut dikongsi oleh ramai budaya dan tradisi, khususnya di antara mereka dari dunia Islam.
Di negara-negara Arab contohnya, tajuk-tajuk cerita yang dikongsi bersama di dalam kebanyakan cerita jenaka dan cerita yang mencerminkan peringkat asas- asas akhlak, biasanya melibatkan seorang bernama Juha; di negara-negara di mana bahasa Farsi merupakan bahasa perantaraan di mana tajuk-tajuk cerita tersebut tidak berubah, melibatkan seorang yang bergelar Mulla Nasruddin; di negara-negara di mana bahasa Turki merupakan bahasa perantaraan cerita-cerita jenaka dan yang mencerminkan peringkat asas-asas akhlak itu tadi melibatkan seorang yang dikenali sebagai Hoca Nasruddin.
Di negeri-negeri Tanah Melayu pula di mana bahasa perantaraan merupakan bahasa Melayu, nama-nama masyhur seperti Pak Pandir dan Abu Nawas biasanya dikaitkan dengan cerita-cerita jenaka, cerita-cerita kelakar yang bernas, dan cerita-cerita yang mencerminkan perangkat asas-asas akhlak.
Walaupun sebenarnya himpunan cerita-cerita jenaka yang telah diterbitkan itu tadi tidak boleh dianggap sebagai kepunyaan mana-mana pihak, bangsa ataupun budaya, saya telah menyifatkan cerita-cerita jenaka yang terkandung di dalam buku tersebut sebagai jenaka Melayu disebabkan cerita-cerita tersebut wujud di negeri-negeri Tanah Melayu, apatah lagi saya menanggap diri saya sebagai seorang Melayu menurut takrif ‘Melayu’ yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaysia.
Oleh yang demikian, makalah saya pada kali ini pula menjemput para pembaca sekalian menjamu selera dengan dua contoh cerita berikut yang diharapkan akan mencuit hati.
Cerita pertama berjudul “Adalah mustahil menggembirakan semua orang”.
Suatu hari Pak Pandir bersama anak lelakinya sedang dalam perjalanan ke pasar. Pak Pandir sedang menunggang kuda kecilnya manakala anak lelakinya berjalan kaki mengiringi beliau. Semasa mereka berdua dalam perjalanan menerusi bandar, mereka terdengar sekumpulan penduduk bercakap tentang mereka berdua.
“Lihatlah kawan kita Pak Pandir, seorang berkata sambil mengarahkan bibirnya ke arah Pak Pandir. “Senang-senang sahaja dia menunggang kuda manakala anaknya terpaksa berjalan. Kasihan si anak Pak Pandir.”
Sebaik sahaja Pak Pandir mendengar kata-kata itu, beliau dengan cepat telah turun daripada kudanya dan meletakkan anaknya di atas kuda tersebut sambil berjalan kaki mengiringinya.
Tidak lama kemudian pasangan ayah dan anak terdengar sekumpulan penduduk yang berdiri di tepi jalan berkata, “Lihatlah Pak Pandir dan anaknya itu. Lihatlah keadaan zaman sekarang di mana anak tidak menghormati ayahnya. Senang-senang sahaja si anak menunggang kuda manakala ayahnya yang malang dibiar berjalan kaki. Lihatlah betapa kawan kita Pak Pandir itu berpeluh. Nampaknya anak zaman sekarang tidak lagi menhormati ibu bapanya.”
Pak Pandir terasa tersinggung dengan kata-kata penduduk itu dan seterusnya mengarahkan anaknya supaya turun daripada menunggang kudanya dan berjalan kaki bersama-samanya.
Pasangan Pak Pandir dan anaknya seterusnya berjalan kaki merentasi bandar menuju ke pasar sambil mengiringi kuda mereka itu. Tidak lama kemudian, muncul pula sekumpulan penduduk yang turut dalam perjalanan menghala ke pasar. Pasangan Pak Pandir dan anaknya terserempak dengan kumpulan tersebut.
Mereka terkejut melihat Pak Pandir dan anaknya berjalan kaki.
“Bodohnya Pak Pandir dan anaknya,” seorang dari kumpulan tersebut berkata dengan nada kuat. “Nampaknya mereka berdua lebih rela tapak kaki mereka terbakar daripada menunggang kuda mereka. Tidakkah mereka maklum bahawa kuda itu sepatutnya ditunggang? Aduh, miskin!”
Sudah tentu Pak Pandir telah mendengar apa yang dikatakan dan menyedari bahawa apa yang dikatakan itu memang betul. Adalah wajar kudanya itu ditunggang. Menyedari kenyataan itu, kedua-dua, Pak Pandir dan anaknya telah menunggang kuda itu.
Tabiat
Apabila mereka berdua sampai di pekarangan pasar, mereka terserempak pula dengan sekumpulan penduduk bandar. Pak Pandir, mengikut tabiatnya memberi salam kepada kumpulan tersebut. Salamnya tidak dibalas. Sebaliknya kumpulan tersebut menegur Pak Pandir dengan marah.
“Hoi! Pak Pandir! Adakah kamu tidak berhati perut? Takkan binatang ini diharapkan menanggung beban dua manusia dewasa di atasnya? Ingat! Kuda itu adalah makhluk ciptaan Tuhan Yang Maha Esa juga.”
Apakan daya. Pak Pandir dan anaknya telah turun daripada menunggang kuda yang malang itu. Seterusnya Pak Pandir telah mengangkat bahagian depan kudanya manakala anaknya telah mengangkat bahagian belakang kuda tersebut, dan membawa makhluk Tuhan itu dengan cara tersebut pulang ke rumah.
Cerita yang kedua pula bertajuk “Menteri yang lupa kepala”.
Pak Pandir telah dijemput ke pejabat Ketua Menteri pada suatu hari bagi tujuan membincang perihal tapak tanah kepunyaan Pak Pandir. Ketua Menteri tersebut merupakan seorang kaya tetapi tamak, yang ingin memiliki tanah Pak Pandir tetapi tidak mahu membayarnya dengan harga yang wajar. Sebaik sahaja Pak Pandir tiba di pejabat Ketua Menteri tersebut, beliau diterima oleh pegawai peribadi kepada Ketua Menteri.
Pak Pandir tidak menyedari hakikat bahawa Ketua Menteri tersebut tidak berniat membeli tanah kepunyaannya. Sebaliknya Ketua Menteri itu berniat menzalimi Pak Pandir. Beliau berpendapat bahawa cara terbaik menzalimi Pak Pandir adalah dengan menangguhkan perjumpaan mereka berdua setiap kali si lebai malang itu dijemput ke pejabatnya. Lama-kelamaan diharapkan Pak Pandir akan mengalah dan seterusnya menyerahkan tanahnya kepada Ketua Menteri itu dengan harga yang murah.
“Saya minta maaf Pak Pandir,” kata si pegawai peribadi itu, “Yang Berhormat Ketua Menteri tidak berada di pejabatnya. Buat masa ini, beliau bermesyuarat di pejabat Perdana Menteri.”
Secara kebetulan, si pegawai peribadi tersebut tidak sedar bahawa Pak Pandir telah melihat wajah Ketua Menteri itu melalui tingkap pejabatnya. Seterusnya Pak Pandir terasa tersinggung setelah dijemput tetapi diminta pulang, apatah lagi beliau sedar bahawa dia telah ditipu oleh pegawai peribadi kepada Ketua Menteri.
“Tolong sampaikan salam saya kepada Yang Berhormat,” jawab Pak Pandir dengar nada yang tinggi.
“Selebihnya tolong nasihatkan Yang Berhormat, lain kali apabila beliau keluar jangan lupa membawa kepalanya yang duduk di tingkap pejabatnya.”
Cerita-cerita jenaka yang telah saya paparkan merupakan dua daripada sejumlah tujuh puluh sembilan cerita yang telah dimuatkan dalam buku terbitan MpH. Buat masa kini, saya telah menulis himpunan cerita-cerita jenaka ini di dalam bahasa Inggeris. Insya-Allah, sekiranya ada permintaan, saya akan berusaha menterjemahkan cerita-cerita tersebut ke dalam bahasa Melayu dewasa kelak.
0 件のコメント:
コメントを投稿