Oleh: DR. SYED AIi TAWFIK AL-ATTAS
SEPINTAS lalu, kerajaan Arab Saudi telah menjemput sekumpulan 23 orang rakyat Malaysia ke Tanah Suci Mekah untuk melengkapkan umrah sambil melawat institusi-institusi pengajian tinggi, pejabat mufti, pusat- pusat Islam dan Bank Pembangunan Islam. Kumpulan tersebut terdiri daripada seorang pegawai kerajaan Arab Saudi, golongan profesor, para mufti, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, penasihat agama, pendakwah dan ahli-ahli badan bukan kerajaan, termasuk saya sendiri. Kerajaan Arab Saudi merancang perjalanan kumpulan tersebut selama 11 hari dengan sungguh rapi dan tersusun, dan telah mencerminkan budi pekerti yang halus.
Di samping itu juga, pegawai kerajaan Arab Saudi yang mengiringi kumpulan dari Malaysia itu mengamalkan budaya husn al-Diyafah yang tidak terhingga. Disebabkan sifat pemurah hati pihak kerajaan Arab Saudi, kumpulan itu tadi sempat melengkapkan umrah dan menziarahi makam junjungan besar Nabi Muhammad (s.a.w.); dan oleh kerana itu, kami mengucapkan ribuan terima kasih.
Semasa tawaf mengelilingi Kaabah sambil mengangkat doa dan melafazkan takbir, saya sempat melihat tingkah laku dan kelakuan sebilangan Muslimin yang asyik mengambil gambar Kaabah dengan telefon bimbit mereka, atau lebih dahsyat lagi bersembang dengan sahabat mereka melalui telefon tersebut sambil berusaha melengkapkan sai. Walaupun terkejut melihat kelakuan ganjil mereka, pada masa itu tumpuan serta fikiran saya dipenuhi amal yang sedang saya laksanakan. Akan tetapi, sebaik sahaja kumpulan kami sampai di bandar Riyadh, saya mula mengimbas peristiwa-peristiwa di depan pintu Kaabah, baik yang menanam ketenangan dalam jiwa lagi mengembalikan rasa tawaduk mahupun yang ganjil, serta memikirkan landasan hala tuju dan nasib golongan Muslimin.
Lewat suatu malam, saya berpeluang menonton televisyen di bilik saya. Pada waktu itu terpapar sebuah rancangan berbahasa Inggeris yang bersifat rencana yang memaparkan dua golongan insan yang terdiri daripada sekumpulan pelajar sarjana dari Davidson College di Amerika Syarikat (AS), dan sekumpulan pelajar sarjana dari Universiti Baghdad di Iraq. Kedua- dua kumpulan tersebut dihubung melalui satelit, manakala pengacara rancangan bertempat di AS. Kesemua pelajar tersebut bukan jahil, sebaliknya merupakan pelajar yang cemerlang, yang arif berkenaan keadaan sekeliling, yang mampu mentafsirkan niat serta berupaya mengenali kezaliman. Rancangan tersebut membahaskan keadaan perang di bumi Iraq, sama ada suasana di negara yang menderita itu membenarkan perpaduan sesama rakyatnya ataupun berupaya membawa kepada keamanan yang sangat-sangat diperlukan. Lalu pengacara tersebut bertanya kepada kumpulan pelajar sarjana dari Davidson College, “Selepas empat tahun semenjak kedatangan askar-askar Amerika Syarikat ke Iraq, adakah perbuatan Amerika itu masih boleh dikatakan wajar?” Secara keseluruhan semua pelajar sarjana tersebut menjawab bahawa ianya tidak wajar. Mereka semua percaya bahawa kerajaan mereka yang diterajui George W. Bush telah berdusta semasa mendakwa negara Iraq, khususnya pemimpin mereka Saddam Hussein, mempunyai kemampuan senjata bercirikan nuklear dan sebagainya. Soalan yang sama diajukan kepada kumpulan pelajar sarjana dari Universiti Baghdad tetapi ianya disusuli dengan soalan tambahan, “Adakah keadaan dan suasana di bumi Iraq lebih baik sekarang berbanding zaman pemerintahan kuku besi Saddam Hussein, atau adakah suasana tersebut jauh lebih buruk?” Jawapan golongan pelajar sarjana tersebut hampir sama dengan golongan pelajar sarjana dari AS tetapi jawapan kepada soalan susulan mengandungi dua bahagian.
Menurut mereka suasana pemerintahan di Iraq jauh lebih baik sekarang berbanding zaman kekejaman bekas Presiden Iraq, tetapi keadaan tegang yang membawa kepada kemelut dan yang akhirnya mencetuskan kekejaman dan pembunuhan yang tiada belas kasihan menunjukkan bagaimana arus kehidupan dan nasib warga Iraq bertambah buruk hari demi hari.
Tindakan
Ekoran jawapan mereka itu, pengacara rancangan tersebut telah bertanya: “Apakah tindakan yang harus dilakukan pada masa yang terdekat supaya keadaan yang diceritakan oleh golongan pelajar sarjana dari Universiti Baghdad dapat diatasi dan dikembalikan kepada suasana aman dan damai? Haruskah askar-askar AS diminta mengembalikan kuasa memerintah dan mengundi kepada rakyat negara Iraq sebelum askar-askar tersebut disatukan semula dengan negara mereka, atau haruskah askar-askar asing itu dikekalkan di bumi Iraq agar matlamat AS yang bersifat membawa demokrasi dan kebebasan (hurriyyah) kepada rakyat Iraq dapat dicapai?” Golongan pelajar sarjana dari Davidson College dijemput menjawab sebelum kumpulan pelajar sarjana dari Universiti Baghdad. Jawapan daripada kumpulan pertama tidak memeranjatkan, namun setengah daripada pelajar sarjana tersebut berpendapat bahawa adalah wajar kuasa memerintah dan mengundi dikembalikan kepada rakyat Iraq dan askar-askar AS harus meninggalkan Iraq supaya nasib negara tersebut dapat ditentukan oleh rakyatnya. Manakala baki pelajar tersebut menjawab bahawa walaupun mereka berpendapat bahawa penglibatan askar-askar AS dalam peperangan di Iraq adalah tidak sah, namun mereka berpendapat bahawa selagi askar-askar mereka berada di muka bumi Iraq matlamat membawa demokrasi dan kebebasan harus dicapai.
Kemudian kumpulan pelajar sarjana dari Universiti Baghdad dijemput menjawab soalan yang sama. Jawapan daripada kumpulan tersebut menyamai jawapan daripada kumpulan pertama di mana setengah daripada mereka menginginkan pengusiran askar-askar asing dari tanah air mereka setelah mengembalikan kuasa memerintah serta keupayaan memilih nasib dan hala tuju negara Iraq kepada pemegang amanah yang sah, manakala baki mereka berpendapat sebaliknya; bahawa askar-askar AS harus kekal supaya matlamat negara asing itu dapat dizahirkan. Saya mendengar dan menghalusi jawapan kedua-dua kumpulan tersebut. Adakah jawapan-jawapan tadi wajar dan berdasar? Adakah benar bahawa jalan penyelesaian kepada masalah besar yang melanda kaum Muslimin amnya dan rakyat warga Iraq khususnya, terbatas kepada dua soalan yang dihuraikan tadi? Sesungguhnya saya berpendapat bahawa jawapan kedua-dua kumpulan pelajar sarjana kepada soalan-soalan tersebut adalah tidak berasaskan akal fikiran yang waras.
Pada awal perbincangan rancangan tersebut kedua- dua kumpulan pelajar tersebut dengan sebulat suara menyatakan bantahan mereka kepada penglibatan askar-askar AS dalam peperangan di Iraq, tetapi perkara tersebut dinyatakan setelah empat tahun askar-askar AS menyerang lalu menceroboh negara Iraq seolah-olah kerajaan dan rakyat AS mengalami suatu kemelut akhlak (moral struggle) di mana mereka ‘mengaku’ perbuatan mereka itu adalah salah. Akan tetapi setengah mereka berpendapat bahawa untuk mengatasi serta menebus dosa mereka itu, haruslah kerajaan AS mengekalkan askar-askar mereka supaya ‘rahmat’ demokrasi dan kebebasan menurut rangka pandangan alam Barat dapat dihayati oleh semua warganegara teraniaya itu. Pendapat sebegini adalah mustahil. Sekian lama kerajaan negara-negara Islam telah cuba mentakrifkan pendirian Islam berkenaan pendekatan siasah yang bersifat adil dan saksama, yang kononnya diamalkan di negara negara Barat sebagai ‘demokrasi’; sekian lama sebilangan kecil ulama Islam mentakrifkan faham kebebasan atau lebih tepat lagi ikhtiar yang dicerminkan oleh pandangan alam Islam. Malangnya pihak AS khususnya tidak ingin mendengar, mentafsir, memahami dan mengenali (to listen) pendekatan Islam walaupun mereka dengan relanya mengaku telah mendengar (to hear) kata-kata pihak Muslim. Mereka seolah-olah tidak sedar bahawa adanya perbezaan yang nyata di antara mendengar, memahami dan mengenali (to listen), dengan hanya mendengar (to hear) di mana faham yang kedua hanya merujuk kepada deria pendengaran yang mampu mendengar suara tanpa melibatkan pentafsiran mahupun pengenalan.
Sepintas lalu saya menyatakan bahawa secara umum pandangan alam Barat dibentuk oleh pengalaman sejarah; dengan kata lain, ia dibentuk oleh rangkaian aliran akliah setiap satunya dicirikan oleh gagasan pemikiran yang diperoleh dari kebudayaan dan perkembangan ilmu sains semasa. Pada dasarnya ia bukan diperoleh dari wahyu, oleh itu ia tidak kekal, sentiasa bergantung kepada pemikiran-pemikiran baru yang sentiasa berubah dari masa ke masa. Di samping itu, saya telah menegaskan bahawa oleh kerana pandangan alam Barat tidak merangkumi ilmu wahyu, secara mantiqnya tiadalah apa yang dinamakan unsur-unsur asasi. Sebaliknya, pandangan alam Islam bukan dilahirkan oleh kebudayaan atau kemelut masyarakat yang bergelora, bukan juga bergantung kepada sejarah atau penemuan-penemuan ilmu-ilmu sains. Sebaliknya pandangan alam itu sendiri yang melahirkan budaya dan tamadun. Secara ringkas, wahyulah yang memancarkan unsur-unsur asasi pandangan alam, unsur-unsur di mana ilmu berkenaan dengannya berasas kepada keyakinan. Dari penjelasan ringkas yang dihuraikan tadi, bolehlah disimpulkan dengan kepastian bahawa hakikat takrif ‘pandangan alam’ itu sendiri berbeza antara satu tamadun dengan yang lain, di mana pandangan alam Barat meletakkan manusia di tempat yang paling utama. Bagaimana pula dengan faham demokrasi dan kebebasan? Sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah makalah yang diterbitkan kelmarin, takrif demokrasi menurut rangka Barat bergantung kepada siapa yang dirujuk. Secara umumnya semua bersetuju bahawa apabila prasyarat-prasyarat demokrasi dipenuhi, sesebuah demokrasi mesti mengadakan undang-undang pilihan raya yang tidak menghalang kebebasan memilih kerajaan dan parlimen yang dipilih oleh sekurang-kurangnya 50 peratus pengundi, dan mesti ada sekurang-kurangnya dua pertubuhan siasah yang telah melalui perubahan sekurang- kurangnya sekali melalui pemilihan bebas. Ini menggambarkan bahawa tujuan asasi demokrasi ialah keadilan, kerana sifat paling utama demokrasi ialah ia tidak boleh dipaksakan ke atas sesiapapun. Kebebasan pula difahami secara dangkal oleh dunia Barat sekadar diberi hak mampu melakukan apa sahaja yang diingini selagi perbuatan perbuatan itu tidak melanggar undang-undang buatan manusia. Kesimpulanya, mereka mentafsir dan memahami demokrasi dan kebebasan berdasarkan pandangan alam mereka, pandangan alam yang tidak tetap dan tiada mempunyai hakikat memandangkan ia menderitai penyakit akibat kekecewaan mereka terhadap apa yang mereka kenali sebagai ilmu wahyu.
Oleh yang demikian, adakah umat Islam sekadar menerima sahaja bahawa pihak kerajaan dan rakyat AS insaf bahawa mereka telah melakukan kesilapan empat tahun yang lalu? Mereka masih tidak mengenali siapa mereka itu umat Islam. Mereka masih berdegil membantah takrif pandangan alam Islam, dan masih tidak mengenali serta mengakui perbezaan yang nyata di antara hadarah dunia Barat dan tamadun dunia Islam. Adakah kita umat Islam masih berfikir bahawa matlamat yang ingin dibawa kepada orang-orang Islam amnya dan rakyat Iraq khususnya berupaya membawa kepada faham yang bermakna yang serasi dengan pandangan alam dunia Islam? Sekiranya kita menjawab “ya”, maka ianya seperti menyatakan bahawa setelah membenarkan pencuri mencerobohi rumah kita sambil membunuh isteri kita, merogol anak-anak kita, dan merampas hak kita, kita masih yakin bahawa penceroboh itu telah insaf walaupun dia tidak memahami siapa kita dan seterusnya bersetuju membenarkan penceroboh itu menebus dosanya dengan membenarkannya melakukan perkaraperkara zalim yang sama.
Berkenaan pendapat baki kumpulan pelajar sarjana yang menyatakan bahawa askar-askar AS harus diusir setelah mengembalikan kuasa memerintah, saya ingin bertanya; adakah kita yakin bahawa rakyat negara Iraq mampu memilih nasib dan hala tuju mereka? Sesungguhnya negara tersebut telah menderita selama lebih 30 tahun di bawah genggaman pemerintahan kuku besi bekas presidennya. Rakyatnya tidak mampu melakukan apa-apa demi membebaskan negara mereka daripada kekejaman yang zalim hasil daripada pemerintah yang keji. Apabila tentera AS berjaya menahan bekas presiden negara Iraq, seterusnya menghadapkannya ke mahkamah dan menyelaraskan hukuman gantung sampai mati ke atasnya, barulah rakyat Iraq dibebaskan daripada kezalimannya. Akan tetapi pada masa yang sama, berlaku pembunuhan beramai-ramai, ratusan ribu menghadapi ancaman, manakala jutaan yang lain dipaksa hidup di bawah pemerintahan yang lebih ganas dan zalim. Semuanya ini dilakukan ke atas orang-orang Islam oleh rakyat mereka sendiri. Adakah keadaan ini menunjukkan bahawa rakyat Iraq bersedia mahupun berupaya menetukan nasib dan hala tuju mereka? Apakah peranan yang dimainkan oleh Pertubuhan Persidangan Negara- Negara Islam (OIC)? Sesungguhnya mereka menunggu nasihat daripada sebilangan mereka yang dinobatkan sebagai ulama, golongan yang seharusnya mampu memberi nasihat yang berupaya membawa kepada faham yang bermakna, kepada kebenaran, dan seterusnya keamanan. Akan tetapi, golongan tersebut asyik membangkitkan soal perpaduan tanpa menggariskan dengan tepat bagaimana perpaduan tersebut boleh dicapai, ataupun mereka serik membantah peristiwa salah seorang seniwati mencukur rambut kepalanya.
0 件のコメント:
コメントを投稿