2007年12月16日日曜日

Permata perundangan Islam

Oleh Syed Ali Tawfik Al-Attas

Semenjak dari kecil lagi Imam al-Shafii sudah dididik dengan ajaran al-Quran. Ibu beliau, seorang wanita yang warak, telah membesarkan sendiri Imam al-Shafii dan beliaulah yang bertanggungjawab menanamkan sifat memuliakan adab dan mencintai ilmu.

Dalam pada usianya yang masih muda Imam al-Shafii telah merantau mencari alim ulama bagi menghilangkan dahaganya yang tak pernah habis terhadap ilmu. Pengalaman pertamanya bermula di Madinah, apabila beliau menghadiri suatu majlis di mana Imam Malik membacakan sejumlah ratusan hadis di hadapan pengikutnya. Beliau amat mengagumi kebijaksanaan Imam Malik dan mengeluarkan jarinya lalu ‘menulis’ dengan jari tersebut di atas tapak tangannya. Perbuatan beliau itu telah mencuri perhatian Imam Malik. Selepas mengakhiri khutbahnya itu, beliau telah bertanya Imam al-Shafii berkenaan kelakuannya ‘menulis’ dengan jarinya. Imam al-Shafii menjawab bahawa beliau telah menulis semua hadis-hadis yang diperjelaskan oleh Imam Malik itu tadi semasa khutbahnya. Pada awalnya, Imam Malik mencurigai kesahihan penjelasan Imam al-Shafii itu tadi lalu meminta beliau menunjukkan tapak tangannya. Jelas bahawa tiada satu benda pun yang tertulis di atas tapak tangannya. Imam Malik mula menjadi marah dan tersinggung kerana telah menanggap bahawa si Imam al-Shafii telah mempersendakannya, lalu mengarah supaya Imam al-Shafii meriwayatkan kembali semua yang telah disampaikannya semasa berkhutbah tadi. Imam al-Shafii terus meriwayatkan semula semua yang telah disampaikan oleh Imam Malik tanpa melupakan satu patah perkataan pun yang membuatkan Imam Malik amat kagum terhadap kekuatan ingatan dan kecerdikan Imam al-Shafii yang luar biasa. Beliau seterusnya menjemput Imam al-Shafii supaya tinggal sementara bersamanya di Madinah; jemputan itu diterima dengan penuh rasa gembira. Dalam masa yang amat singkat Imam al-Shafii telah menghafal kitab Muwatta’ Imam Malik, lantas beliau meneruskan perjalanannya ke Kufah bagi melanjutkan tuntutannya. Di sana beliau bertemu dan menjadi tetamu Imam Muhammad. Mungkin di sinilah dapat dilihat tanda-tanda awal kehebatannya yang kemudiannya melahirkan suatu gagasan pemikiran yang mantap berdasarkan pemikiran qiyasi berkenaan al-Quran dan sunah.

Sunah

Seabad setelah wafat Rasulullah (s.a.w.) tiada lagi para sahabat yang hidup bagi menyampaikan perkhabaran baginda. Walaupun nas al-Quran tidak diragui keasliannya, maksud dan kaitannya dengan perundangan Islam yang diasaskan di atasnya, tetap tertakluk kepada pentafsiran. Pada satu pihak lagi, sunah belum lagi disempurnakan nas dan maknanya, dan akibatnya periwayatannya tidak diberikan tumpuan. Persoalan sekarang bukan lagi sama ada sesuatu perbuatan atau tindakan itu Islami atau tidak, sebaliknya bagaimana boleh dibuktikannya, dan sejauh mana keyakinan berkenaannya boleh dicapai.

Orang yang mendepani cabaran itu, dan pada masa sama telah mengasaskan suatu bidang ilmu yang baru, adalah tidak lain dari Imam al-Shafii. Dalam karyanya, al-Risalah, beliau mentakrifkan kaedah-kaedah qiyas dari nas, dan menggariskan syarat-syarat penggunaannya serta amalannya yang sah. Beliau menghalusi hujah dan dalil-dalil sunah, dan menyamakannya dengan al-Quran dari segi kekuatan perundangan; istihsan, yang beliau anggap tidak sah; khabar berkenaan sahabat, yang beliau anggap lemah melainkan disokong oleh sunah; dan ijma, yang beliau anggap tidak wujud kecuali dalam soal ibadat tertentu dan periwayatan al-Quran sahaja.

Menyentuh berkenaan qiyas al-Shafii berkata: “Qiyas adalah kaedah istinbat yang berasaskan kepada keadaan selari yang wujud dalam al-Quran dan sunah yang merupakan sumber kebenaran.” Seterusnya beliau menggariskan dua syarat qiyas. Pertama, bahawa Allah dan Rasul-Nya sama ada telah mengharamkan sesuatu kelakuan atau perbuatan melalui suatu nas yang jelas ataupun mengharuskannya melalui kefahaman akal. Kedua, seseorang mungkin mendapati bahawa perbuatan tertentu mempunyai persamaan hanya dalam satu wajah sahaja, dan tiada perbandingan yang dekat dapat dibuat. Dalam keadaan sedemikian qiyas sewajarnya diamalkan atau dikenakan kepada perbandingan yang paling hampir.

Menurut Imam al-Shafii terdapat dua sudut pandangan dalam ilmu perundangan: yang pertama ijma, dan yang kedua ikhtilaf. Kita maklum bahawa kitab suci al-Quran itu keseluruhannya ditanzilkan dalam bahasa Arab. Kita juga maklum bahawa yang nasikh dan yang mansukh dari kitab Allah, tugas-tugas yang diwajibkan melalui tanzil, akhlak, panduan, dan apa yang dibenarkan. Kita juga maklum kedudukan Rasul seperti apa yang dinyatakan dalam kitab-Nya dan dalam sabda Rasulullah; apa yang Dia maksudkan dengan perintah-perintah-Nya, kepada siapa dikenakan, sama ada kepada semua ataupun sebahagian; kewajipan mentaati keputusan Rasul seperti yang diperintahkan Allah; juga kita ketahui perumpamaan-perumpamaan yang menunjukkan ketaatan kepada Allah dan bagaimana menjauhi maksiat kepada-Nya, juga bagaimana mengelakkan dari merugikan diri sendiri dan bagaimana menambahkan kecintaan kepada yang Maha Esa.

Dalam soal ini, yang boleh ditafsirkan mengikut keadaan ummah zaman sekarang, Imam al-Shafii memberi amaran kepada mereka yang memberikan hukum tanpa asas yang teguh; bahawa mereka hendaklah terlebih dahulu menguasai ilmu yaqini sebelum menceburkan diri dalam persoalan sedemikian. Berkenaan istihsan, yakni kaedah pengeluaran hukum di mana para fuqaha mengeluarkan pandangan tanpa berasaskan nas, ataupun terdapat dua nas satu daripadanya diutamakan, Imam al-Shafii berkata, “tiada sesiapapun seharusnya menggunakan istihsan kerana memutuskan hukum dengannya bermakna membuat hukum sendiri tanpa sebarang contoh perbandingan.”

Kurun ketiga hijrah menyaksikan kebanjiran masuk ilmu pengetahuan, sekali gus menjadikan masyarakat Islam masyarakat yang tinggi ilmunya. Perbahasan berkenaan al-Quran, sama ada dicipta ataupun qadim, yang berkesudahan dengan kemenangan pandangan kedua telah turut mempengaruhi pemikiran fiqh. Penerbitan al-Risalah oleh Imam al-Shafii telah menarik minat para pemikir sama ada penentang ataupun penyokong. Sebahagian bangkit mempertahankan fahaman bebas dan berhujah menentang ijma dan kemungkinannya, manakala yang lain bangkit menyokong pandangan Imam al-Shafii.


Beberapa wajah kalam

Oleh: DR. SYED ALI TAWFIK AL-ATTAS

Zahirnya pemikiran Islami yang terawal, muncul di luar Semenanjung Tanah Arab berkisar tiga lapangan. Medan pertamanya adalah bidang hukum-hakam perundangan.

Dalam mendepani keadaan dan persoalan yang baharu, tanpa kewujudan Rasulullah untuk diminta ajaran atau dirujuk nasihatnya secara peribadi, kaum Muslimin perlu menterjemahkan matlamat agama Islam kepada ketetapan undang-undang yang mampu untuk menangani keadaan-keadaan yang baharu dalam hidup seharian dan mencipta penyelesaian bagi persoalan-persoalan tersebut. Untuk itu mereka perlu mengenal pasti dan menjawab persoalan-persoalan yang berhubung dengan matlamat atau maqasid al-shari‘ah, periamalan insan, makna kewajipan, kebaikan dan keburukan, serta menetapkan peraturan dan kaedah untuk memahami wahyu. Justeru mereka bertekun untuk menghurai dan memantapkan ilmu mantiq, satu kaedah peraturan yang tertib lagi selaras dengan tatabahasa Arab, untuk mengatur kefahaman mereka terhadap makna-makna yang disampaikan menerusi bahasa, kesimpulan makna-makna tambahan, kaedah mengeluar atau menarik kesimpulan, dan cara untuk menilai kebenaran dan hakikat yang boleh diselidiki atau diukur sukat. Cabaran-cabaran tadi, dan usaha yang ditumpukan oleh kaum Muslimin dalam menghadapinya, telah menghasilkan satu falsafah yang bersifat meyakinkan, munasabah pada akal, dan berasaskan kepada penyelidikan akliah yang cergas lagi ligat dalam memenuhi keperluan satu tamadun yang sedang subur dan makmur.

Medan kedua juga bertalian dengan hal ehwal dalaman kaum Muslimin; iaitu, kecenderungan untuk memikirkan secara mantiqi dan menyusun hakikat-hakikat dan kebenaran-kebenaran yang terungkap dalam pandangan alam yang baru yang diperkenalkan oleh agama Islam. Wahyu itu lazimnya ditanzilkan dalam ruang lingkup yang tertentu; yakni, maksudnya ditujukan kepada keadaan yang tertentu. Sesuatu wahyu yang tertentu tidak dimaksudkan untuk semua atau segala keadaan. Tanzil itu sendiri juga tidak mengatur dan menjeniskan segala keadaan agar dengannya wahyu tersebut secara tertib boleh diguna pakai ke atas segala hal ehwal. Sebaliknya, sesuatu wahyu yang tertentu diturunkan berkenaan dengan satu jurusan atau hal dalam hidup manusia, di tengah-tengah pancaran hangat gelanggang hayat, yang menyingkap lekuk paling gelita dan puncak tertinggi kehidupan. Usaha untuk mengatur dan menjenis, untuk mengenakan sorotan tanzil kepada keadaan yang lain dari yang asal adalah tugas kesarjanaan dan pemikiran yang dipandu oleh pedoman wahyu.

Dalam medan yang ketiga, kaum Muslimin zaman awal telah berdepan dengan orang-orang Yahudi, Sabi‘in, Kristian dan Majusi yang mempersoalkan dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh agama Islam, dan menuntut jawapan yang memuaskan hati sebelum mereka boleh memeluk kepercayaan yang baru itu. Lazimnya, kalangan yang baru memeluk agama Islam akan memiliki kefahaman terdahulu (agama lama) yang mempengaruhi faham mereka terhadap kepercayaan yang baharu (agama Islam). Apabila orang-orang yang baru memeluk agama Islam itu banyak berfikir mengenai soal-soal yang sukar dalam memahami kepercayaan baru Islam, tidak dapat tidak terhasillah pandangan dan pendapat yang silap.

Kalam acapkali ditakrifkan secara harfiah. Walau bagaimanapun, dalam ruang lingkup makalah ini, saya akan berusaha untuk memajukan takrifnya yang harfiah dengan maknanya yang hakiki. Untuk yang demikian, kita perlu menyelidiki faham bahasa, dalam maknanya yang umum dan khusus.

Mempersempitkan faham makna kalam dengan mendakwa ia secara harfiah sebagai memberi erti ‘perkataan’ atau ‘percakapan’, sekiranya dinilai dari segi nahu adalah menghina bahasa Arab ke tahap paling rendah. Sebaliknya, kalam sewajarnya membawa kepada erti faham “pembicaraan yang penting yang munasabah pada akal, yang menatijahkan kesimpulan yang diyakini sebagai benar dengan menggunakan ilmu mantiq.” Maka itulah istilah Mutakalliman digunakan untuk golongan yang beriltizam dalam menekuni kalam. Justeru, kaedah tertib yang selaras dengan tatabahasa Arab, yang cukup mantap dalam kefahamannya terhadap pengertian dan makna kebahasaan yang diperjelaskan secara mantiqi. Istilah yang betul bagi “pembicaraan” adalah nutq, kerana istilah ini sangat tepat untuk menyampaikan pengertian tadi. Kalam tidak harus difahami hanya bererti ‘perkataan’ atau ‘percakapan’, jika tidak kita harus dengan alasan yang sama mengandaikan bahawa binatang juga mempunyai kalam. Walaupun binatang tampak boleh bercakap dan dilengkapi dengan kemampuan percakapan, ia tidak dengan kemampuan untuk berbicara secara yang munasabah pada akal yang dirangkum dalam kehalusan mantiq. Justeru, istilah nutq digunakan dengan tepat sekiranya difahami dalam ruang lingkup tadi.

Seperti yang sudah sedia maklum, Ali ibn Ismail al- Ash‘ari memulakan kerjayanya sebagai penganut muktazilah dan seorang pelajar kepada Abu Ali al-Jubba‘i, aliran Basrah. Pada usia empat puluh tahun, beliau meninggalkan aliran Muktazilah dan menentang pendapat-pendapat aliran tersebut. Rasa tidak puas hati dengan asas-asas Muktazilah itu tentunya merujuk kepada ajarannya yang memutlakkan lunas-lunas keadilan dan kebaikan, tetapi sanggahannya meluas ke perkara-perkara yang lain juga.

Mengenai keesaan Tuhan, al-Ash‘ari bukan sahaja menentang aliran muktazilah, tetapi beliau menghuraikan dengan panjang lebar satu aliran kefahaman yang lengkap untuk menyanggah aliran-aliran yang lain dan menyampaikan ajaran agama Islam secara akliah. Faham agama Islam bahawa Allah adalah Pencipta segala merupakan terusan kepada faham Tuhan sebagai Pemilik Alam Semesta, Maha Pemelihara lagi Maha Berkuasa. Tidak ada satu sebab yang dengan sendirinya wajib berlaku; ketertiban dan aliran sesuatu sabab adalah mumkin, ditentukan oleh Tuhan agar wujud sebagaimana adanya. Bertentangan dengan filsuf Yunani, al-

Ash‘ari mengajar bahawa maddah tidak menjelmakan kewujudan maddah yang lain, tidak juga ia menyebabkan maddah yang lain berubah. Ini sama dengan menafikan hukum sebab-akibat kerana Tuhanlah yang menentukan semua itu. Dengan alasan yang lebih munasabah, al- Ash‘ari tidak membicarakan soal hukum alam tabii, sebaliknya beliau memilih untuk membicarakan berkenaan sunatullah dalam alam tabii. Acapkali didakwa bahawa al-Ash‘ari meminjamnya daripada filsuf Yunani, walhal hakikat yang sebenarnya adalah sebaliknya. Ajaran atomisme Yunani berpendapat bahawa atom- atom itu adalah kewujudan yang dinamik yang dengan sendirinya mengandungi keupayaan untuk berubah. Atom-atom adalah sebahagian daripada maddah yang dianggap dinamik dan berupaya untuk menjelmakan kewujudan yang lain. Atom-atom, menurut pandangan al-Ash‘ari adalah mati, rengsa dan tidak memiliki keupayaan untuk bergerak tanpa perbuatan Tuhan terhadap mereka.

Sewaktu membaca karangan al-Ash‘ari Kitab al-Luma’ yang membicarakan mengenai al-Quran dan Iradat Tuhan, saya jadi terpegun. Dalam menghadapi segala persoalan yang merintang, al-Ash‘ari dengan mahirnya bertahan dan menewaskan apa yang tampaknya tidak terfahamkan. Bila ditanya mengenai sifat-sifat Tuhan, Yang Maha Hidup, Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Melihat, Yang Maha Mendengar, Yang Maha Adil, dan selainnya, al-Ash‘ari telah berhujah dengan mentakrifkan sifat-sifat yang menjadi lawan kepada sifat-sifat tadi. Tetapi, apabila ditanya mengenai keadilan:

“Bantahan: Maka penafian bahawa Tuhan sentiasa berlaku adil memaksa bahawa Dia boleh berlaku zalim atau lemah.”

Jawabnya: Penafian keadilan tidak menyebabkan perlu mensabitkan pernyataan yang sebaliknya iaitu sifat lemah; ini kerana tidak ada jenis keadilan yang Tuhan tidak boleh kuat kuasakan atas kita berserta kelemahan. Maka penafian keadilan tidak menyebabkan perlunya pensabitan yang sebaliknya iaitu kelemahan. Ia juga tidak menyebabkan perlunya pensabitan kezaliman, kerana manusia mungkin tidak berlaku adil, tatkala tidak terhasil darinya keadilan yang diperoleh atau dikuatkuasakan olehnya, akan tetapi tidak berlaku zalim.”

Justeru, saya sampai kepada pengertian bahawa al-Ash‘ari berhujah seperti ini berlawanan dengan ajaran muktazilah yang menyatakan bahawa Tuhan mesti berbuat baik, kerana Dia adalah Tuhan, dan Dia adalah Tuhan Yang Adil, Dia tidak punya pilihan kerana untuk memerikan-Nya dengan sifat yang bertentangan dengan sifat keadilan, sama ada sifat lemah atau sifat zalim, adalah satu perkara yang mustahil. Walau bagaimanapun, al-Ash‘ari tidak bersetuju berkenaan apa yang Tuhan “wajib” melakukan. Pendirian al-Ash‘ari adalah bahawa Tuhan berbuat sekehendak diri-Nya. Pihak yang menyoal mengandaikan bahawa sifat-sifat Tuhan adalah serupa dengan sifat-sifat kejadian jasadi. Bagi manusia keadilan ada lawannya; iaitu kezaliman. Justeru keadilan telah ditakrifkan sebagai keadaan di mana tempat yang betul bagi sesuatu adalah dikenali. Tuhan Yang Maha Bijaksana tidak mungkin untuk ditakrifkan lain daripada bersifat adil kerana ini tidak syak lagi akan memaksa satu yang mustahil. Al-Ash‘ari berhujah bahawa tidak wajar untuk mensyaratkan apa-apa kepada Tuhan Yang Maha Mutlak. Sekiranya Tuhan tampak seperti berbuat yang buruk, ini pada hakikatnya adalah bertentangan dengan sifat-sifat-Nya walaupun mungkin, dan apa yang tampak sebagai buruk kepada kita mungkin sama sekali tidak buruk pada hakikatnya.

Faham-faham ini telah dihuraikan dengan panjang lebarnya oleh para penuntut dan pengikut al-Ash‘ari dalam satu aliran penuh yang mereka pupuk dan kenal pasti sebagai aliran Islami Ahl al-Sunah.