2007年10月3日水曜日

Catatan kehidupan Al-Biruni

Oleh: DR. SYED ALI TAWFIK AL-ATTAS

PEMISAHAN ilmu kepada usaha-usaha yang menggunakan kaedah ilmiah (scientific method) dan yang tidak menggunakannya adalah fenomena moden. Ia muncul di Barat dengan kemunculan sains tabii pada kurun ke-16. Dengan kejayaan para ilmuwan membebaskan diri dari kongkongan gereja seterusnya membina suatu aliran yang utuh, “sains kemasyarakatan” menurut langkah yang sama dan di bawah kepimpinan Auguste Comte mereka membebaskan diri dari kongkongan yang sama seterusnya meletakkan ilmu berkenaan manusia di bawah bidang kemanusiaan (humanities).

Sains kemasyarakatan memisahkan dirinya dari kemanusiaan dan menggelarkan dirinya “sains” kerana ia mengguna pakai kaedah ilmiah, dan memastikan ia juga setaraf dengan sains tabii dalam soal taraf kesahihannya. Pada zaman yang dikuasai oleh faham romantik, ilmu kemanusiaan hanyalah merangkumi sisa-sisa dari apa yang dinamakan kehidupan manusia, yakni persoalan cita dan perasaan, harapan dan keindahan. Pembahagian yang dibuat ini bagaimanapun menjadikannya sesuatu yang bersandarkan pendapat semata-mata di mana kebenaran yang subjektif mungkin boleh disuarakan, tetapi tiada kebenaran objektif yang boleh ditemui.

Punca perkembangan ini ialah kaedah ilmiah; dan ia ditakrifkan sebagai kaedah bagi mengetahui hakikat kejadian melalui pemerhatian, andaian dan uji kaji. Kaedah ini seterusnya dicirikan oleh maklumat-maklumat dan bukti-bukti yang bersifat material semata-mata yakni boleh ditanggapi oleh pancaindera dan boleh diukur kadarnya.

Para pemikir Muslim menimbulkan persoalan-persoalan besar berkenaan kesesuaian kaedah ilmiah ini apabila digunakan ke atas sains kemasyarakatan. Tidak kurang pentingnya soalan berkenaan kemampuan kaedah itu apabila diguna pakai dalam bidang sains tabii pada zaman sains-sains yang sunyi nilai dan akhlak, memandu dunia ke arah kebinasaan. Teguran-teguran seumpama ini, walau bagaimanapun, tidak menjejaskan pemerhatian, andaian, dan uji kaji berdasarkan maklumat-maklumat inderawi yang boleh diukur. Sebagaimana ia, langkah- langkah yang digunakan ini sah dan terpelihara dalam usaha memperoleh ilmu. Persoalannya, adakah kaedah ini ciptaan Eropah moden semata-mata?

Istilah ilm atau fiqh pada mulanya diguna oleh kaum Muslimin bagi merujuk kepada ilmu berkenaan wahyu, maklumat-maklumatnya, tradisinya dan makna-maknanya. Justeru makna harfinya terpelihara. Ia mula memperoleh makna istilahi apabila diguna bagi merujuk kepada syariah. Kini ia bermakna ilmu yang diperoleh secara istidlal, dengan mengkaji bukti bagi mengetahui apa yang tidak diketahui. Istidlal mengandaikan pemerhatian maklumat dan pengkajiannya menerusi uji kaji, ukuran dan pemerhatian lanjut. Perbezaan seterusnya ialah antara istiqra’ dan istinbat. Yang pertama itu seerti dengan kaedah empirikal dan induktif manakala yang kedua seerti dengan kaedah analitikal. Bukti tentang dakwaan ini boleh ditemui di mana-mana, khususnya dan karya- karya perubatan Abu Rayhan al-Biruni.

BAHAGIAN SATU

Abu Rayhan Muhammad b. Ahmad al-Biruni, pada pandangan saya mungkin merupakan salah satu lambang teragung zaman keemasan sains tamadun Islam. Beliau cendekiawan agung yang dikurniakan berbagai- bagai kepandaian dalam bidang ilmu falak (astronomy), tabii (physics), kaji alam (geography), perubatan dan bidang-bidang ilmu lain. Beliau tokoh ilmuwan terulung pada zaman pertengahan tamadun Islam, salah satu zaman yang paling hebat dalam bidang reka cipta manusia. Walaupun tidak begitu dikenali berbanding Ibn Sina, kesarjanaannya dan pemerhatiannya yang tajam terhadap perubahan-perubahan masyarakat, dan yang lebih penting pencapaian-pencapaian saintifik yang diperolehnya meletakkannya pada kedudukan yang tinggi dalam sejarah pemikiran. Sebahagian sejarawan meletakkannya salah seorang saintis tamadun Islam teragung.

Al-Biruni dilahirkan pada tahun terakhir pemerintahan Khalifah al-Muti’. Tarikh sebenar kelahirannya tidak pasti. Walau bagaimanapun, menurut sesetengah sarjana beliau dilahirkan pada hari Khamis, 3 Zulhijah 362H, di Khwarizm, berdekatan Khira. Daerah ini merupakan pusat kebudayaan antarabangsa yang tumbuh hasil penaklukan. Khwarizm pernah menjadi sebahagian dari Khilafah Umayyah, akan tetapi semasa al-Biruni dilahirkan, ianya telah lama di bawah kuasa dinasti Parsi, Samani. Di bawah pemerintahan Samani, bandar-bandar Asia Tengah seperti Bukhara dan Samarkand mencapai kemuncak sebagai pusat kebudayaan dan kekayaan. Kesusasteraan, syair, serta berbagai-bagai cabang ilmu pengetahuan dinaungi oleh golongan pemerintah, termasuk pemerintah tempatan Khwarizm. Pada awal remajanya al-Biruni dipelihara oleh bapa angkatnya Abu Nasr Mansur b. Ali b. Iraq, kerabat diraja Khwarizm yang juga ahli ilmu hisab (mathematics) dan astronomi yang terkenal. Beliau bertanggungjawab memperkenalkan kepada al-Biruni geometri Euclid dan astronomi Ptolemy.

Al-Biruni boleh dibandingkan dengan berlian yang bergemerlapan. Pada zaman awalnya, al-Biruni begitu mengagumi para ilmuwan Yunani purba. Menurut Max Meyerhorf, pada pandangan al-Biruni bangsa Yunani adalah bangsa yang paling terkehadapan dan cemerlang dalam soal keilmuwan, mereka mengangkat martabat ilmu ke tempat tertinggi dan memajukannya ke tahap yang sempurna. Walau bagaimanapun al-Biruni menentang falsafah silogistik dan rasionalistik Aristotle, menghormati pencapaian saintifik kaum Stagira, dan berbeza pendapat daripada kaum Peripatetik dalam soal-soal besar seperti makna kejadian dan soal keabadian alam. Dia juga membuat kajian mendalam terhadap al-Razi dan penulis- penulis lain yang dipengaruhi oleh pemikiran-pemikiran Hermetik.

Peristiwa-peristiwa yang mengubah struktur siasah Asia Tengah pada penghujung kurun ke-10 memberi kesan langsung kepada kehidupan ilmiah al-Biruni apabila penguasa tempatan Khwarizm berpaling memberi ketaatan kepada Dinasti Samani. Al-Biruni meninggalkan negaranya dan membawa diri ke bandar Rayy di mana dia menemui penaungnya yang baru Shams al-Ma‘ali, pemerintah Jurjan dan Tabaristan. Raja ini merupakan pemerintah kejam dan al-Biruni tidak selesa berada di bawah naungannya, tambah pula pertukaran pemerintah menyebabkan dia kehilangan penaung yang diperlukan bagi meneruskan kajiannya. Dengan itu dia kembali ke Khwarizm pada tahun 1012. Satu lagi perubahan siasah berlaku pada 1017. Kali ini membawa kesan yang amat besar yang mengubah kehidupannya: Penaklukan Khwarizm oleh tokoh teragung pada zaman itu, Mahmud Ghaznawi.

Mahmud Ghaznawi (998-1030M) adalah hasil dan sekali gus orang yang bertanggungjawab mengubah institusi-institusi siasah di Asia Tengah, Parsi dan India Utara. Mahmud dikenali dalam sejarah India sebagai penjarah yang mabuk darah, akan tetapi terkenal sebagai penaung seni, sastera dan sains. Pada zamannya, dia mengumpulkan di istananya para ilmuwan dan penulis teragung. Ibn Sina telah pun menyelamatkan diri ke istana pemerintah Buwayh di Parsi, manakala sesetengah ilmuwan yang lain datang secara sukarela dengan harapan mendapat naungan diraja. Sesetengah yang lain pula semata-mata terperangkap apabila Mahmud mencari orang-orang yang berbakat di bandar-bandar yang ditaklukinya. Al- Biruni termasuk dalam golongan ketiga ini. Pada masa itu dia telah dikenali sebagai ahli astronomi, matematik dan falsafah dan apabila Mahmud menakluki Khwarizm, dia dibawa ke Ghazna pada tahun 1017M. Ini bukan bermakna dia ditawan; sebaliknya pemerintah mahukan kehadirannya di istananya, dan satu-satunya peluang untuk dia meneruskan kajian dan penulisannya ialah dengan menyertai rombongan Mahmud.

Tidak banyak maklumat berkenaan kehidupan al-Biruni di Ghazna manakala rujukannya kepada Mahmud adalah berlapik dan kabur. Yang jelas al-Biruni tidak sukakan Mahmud dan sentiasa dalam ketakutan terhadap apa yang Mahmud mungkin lakukan terhadapnya. Walau bagaimanapun, kegilaan Mahmud terhadap penaklukan membuka ruang kepada al-Biruni mencapai cita-cita ilmiahnya kerana ia membolehkannya menjelajah negara-negara asing. Tidak banyak maklumat yang diperoleh berkenaan kerja-kerja yang dilakukan al-Biruni semasa menyertai rombongan Mahmud pada 1030M. Pada masa inilah Mahmud hampir setiap tahun menyerang wilayah-wilayah raja-raja India, dan hampir pasti al-Biruni menyertainya, mungkin sebagai ahli astronomi atau astrologi. Al-Biruni tidak mengagung-agungkan kemenangan para penakluk, atau berpandangan bahawa tamadun yang lebih besar membawa kebaikan kepada yang lebih kecil. Dalam keadaan sedemikian al-Biruni memulakan pengkajiannya terhadap tamadun India, dan di sebalik kekangan tugas- tugasnya terhadap Mahmud dia tidak melepaskan peluang keemasan yang diperolehnya itu.

Pengukuran adalah perkara asasi dalam kaedah ilmiah al-Biruni. Baginya, pengukuran jarak bukan sahaja penting dari segi kegunaan: Ia adalah cara yang penting bagi menyatakan kebenaran. Ilmu yang diperoleh melalui geometri selaras dengan hakikat alam itu sendiri, seperti yang ditunjukkan oleh keyakinannya bahawa bilangan daun sesuatu bunga mengikut undang-undang geometri. Dia juga mengkaji bidang graviti khusus (specific gravity). Berikut ialah penjelasan kaedah yang beliau gunakan:

Pertama dia menimbang jisim itu dalam udara, kemudian menimbangnya dalam air dengan meletakkannya dalam bekas kon yang ditebuk lubang padanya pada ketinggian tertentu. Seterusnya dia menimbang air yang diganti oleh jisim tadi dan dari berat air itu dia mengetahui berat jisim. Kemudian dengan membahagikan berat jisim di udara dengan berat air berkenaan, dia memperoleh graviti khusus jisim itu, ataupun lebih tepat lagi bahan yang membentuk jisim itu.

Bahan-bahan yang diperoleh melalui kajian teks banyak didapati dalam bukunya. Al-Biruni bagaimanapun tidak bergantung hanya kepada perpustakaan dan hasil kajian orang lain. Dalam kitabnya, al-Saydanah fi al-Tibb, al-Biruni menyatakan keraguannya terhadap pengumpulan buku untuk perpustakaan serta menunjukkan kecenderungannya terhadap ingatan. Perpustakaan, katanya, terdedah kepada bahaya kebakaran, kehilangan akibat kecurian atau kemusnahan.

BAHAGIAN DUA

Dari sekian banyak karya peninggalan al- Biruni dalam bahasa Arab dan Sanskrit, terdapat satu senarai (catalogue) lengkap yang dikatakan mengandungi tidak kurang dari 60 folio yang elok cetakannya, ianya adalah kitab al-Saydanah fi al-Tibb, usahanya yang terakhir yang dimulakan pada penghujung usianya seperti beliau nyatakan pada awal pengenalan buku berkenaan.

Kitab al-Saydanah boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama merupakan pengenalan kepada ilmu farmasi, farmakologi dan terapi perubatan, yang dilengkapi takrif dan penjelasan sejarah yang berguna. Selanjutnya, buku berkenaan farmasi dan materia medica telah sampai kepada kita dalam bentuk draf yang dinukilkan oleh al- Biruni sendiri yang menambahkan catatan- catatan sisi tidak lama sebelum kematiannya.

Seperti penulis-penulis Muslim yang datang kemudian, al-Biruni memanfaatkan kitab al-Nabat karangan Abu Hanifah al-Dinawari, juga tulisan al-Razi. Al-Biruni memetik dua tulisan al-Razi, kitab al-Saydanah dan kitab al-Abdal dan menyatakan:

“Aku telah melihat dua karya Abu Bakr al-Razi tetapi aku kurang berpuas hati terhadapnya. Apa saja yang aku ingat aku tambahkan padanya untuk diulangkaji kembali, untuk aku dan rakanku, supaya dia dapat mengenal pasti apa yang aku katakan sama ada berpunca dari kelalaian atau kelemahan ingatanku.”

Sebaik mungkin al-Biruni memastikan dia mengikuti tradisi: Dia menyusun materia medica berkenaan mengikut susunan huruf seperti dilakukan Ibn Sina, Ibn al-Baytar dan al-Ghafiqi. Dia juga menyenaraikan istilah lain bagi setiap dadah yang disenaraikan, biasanya dalam bahasa Yunani, Syria, Parsi, Sogdi, Sindhi, Hindi, Khwarizmi (dan dalam keadaan tertentu, Tirmidhi).

Selain tersusun mengikut urutan huruf, senarai panjang materia medica secara umumnya merangkumi perbicaraan tentang khasiat dan pandangan penulis-penulis lain tentangnya, selaras dari segi rangkanya dengan Medical Formulary al-Kindi. Adalah tugas yang besar untuk memahami sepenuhnya ruang lingkup maklumat yang terkandung dalam buku itu, istilah-istilah yang digunakan dalam perbahasan etimologi tentang nama-nama dadah dan kata seertinya. Dalam kata al-Biruni sendiri:

“Satu kepayahan besar berkenaan bahasa Arab ialah banyak perkataan yang seerti dan seseorang itu mesti membezakan satu dari yang lain melalui perubahan bentuk (inflection) dan titik. Sedikit kecuaian dalam soal ini akan mendatangkan kekeliruan dan kekaburan. Seseorang itu tidak dapat memastikan apa sebenarnya yang dimaksudkan dan kecuaian seperti ini malangnya begitu berleluasa di kalangan kita. Sekiranya ini tidak berlaku, karya-karya yang ditinggalkan para ilmuwan Yunani yang diterjemah ke bahasa Arab sudah mencukupi. Malangnya kita tidak dapat bergantung kepadanya; tambah pula kerana pembetulan dan pindaan dimasukkan dalam karya-karya mereka, kita tidak lagi memperoleh manfaat penuh.”

Seperti dinyatakan sebelum ini kitab al- Saydanah al-Biruni boleh dibahagikan kepada dua bahagian utama. Yang pertama, satu pengenalan dan lima bab yang padat di mana al-Biruni menjelaskan kaedah-kaedah dan kajian yang dilakukan, pendekatan dan perancangannya, termasuk sahabat dan pembantunya al-Shaykh al-Nasha‘i, dan matlamat-matlamat mereka dalam menghasilkan suatu kesimpulan yang munasabah. Al- Biruni mengutamakan pendekatan yang berasaskan “pengalaman sendiri” dan menekankan bahawa pengulangan cara itu akan melengkapkan ilmuwan dengan maklumat- maklumat yang tidak mungkin dilupakan, yang jika tidak terpaksa dirujuk berulang kali. Sikap ini berlawanan dengan sikap para pengumpul yang hanya mengulang kembali kesilapan-kesilapan yang terdahulu. Al-Biruni menyimpulkan perbahasan berkenaan dengan memetik kata-kata penulis Arab: “Kekayaan sebenar seseorang itu ialah ilmu yang tersimpan dalam ingatannya yang dapat dia gunakan dengan mudah bila-bila sahaja.”

Bahagian kedua mengandungi materia medica yang diatur dengan teliti berdasarkan susunan huruf. Dia telah membina aliran berikut, dan telah menjelaskan ciri-cirinya.

(1) Pertama, dia namakan ubatan berkenaan, kemudian senaraikan istilahnya dalam bahasa-bahasa lain.

(2) Berikutnya etimologi ubat berkenaan.

(3) Sumbernya, di mana diperoleh.

(4) Sifat ubat itu. Dia menggunakan kaedah pembahagian membahagikannya kepada galian, tumbuhan dan haiwan.

(5) Dia juga memberikan penjelasan morfologi terhadap dadah berkenaan.

(6) Turut disediakan ialah perbandingan antara jenis-jenis, dengan menekankan bahagian-bahagian yang digunakan, warna dan ciri-ciri luaran yang lain.

(7) Pertumbuhan, penyebaran, penanaman, pengumpulan dan penyimpanan ubat- ubatan asas (simple drugs) untuk kegunaan akan datang.

(8) Kerapkali dia memetik pengarang lain dalam bentuk prosa dan ayat, juga merujuk kepada penilaian yang mereka lakukan.

(9) Menyediakan asas kepada pemisahan farmakologi dari farmakognosi dalam usaha terancang bagi membuktikan sifat-sifat lahiriah ubat-ubatan asas (simples). Menurut Profesor Dr. Hamarneh, bahagian ini dari kitab al-Saydanah adalah salah satu yang terbaik dan yang pertama seumpamanya pernah ditulis dalam mana-mana bahasa sehinggalah kepada zaman kebangkitan Eropah.

Di samping nama-nama ubatan al-Biruni juga memberi penjelasan panjang terhadap setiap ciri ubatan berkenaan, dari etimologinya, sifat dan pembawaannya, hinggalah kepada ciri-ciri lahiriah, isi kandungan dan keracunannya. Tafsiran umum al-Biruni tentang keracunan dalam kitab al-Saydanah berasaskan, dengan sedikit pengubahsuaian, kepada teori-teori dan pegangan Hunayn al-Ibadi dan ilmuwan sezaman dengannya. Dalam bahagian ini, al-Biruni menjelaskan tentang beberapa ubatan asas (simple drugs) yang beracun atau mengandungi kesan sampingan yang membentuk keracunan.

Perbincangan itu mengandungi banyak pemerhatian asli yang disertai pandangan- pandangan yang menarik dan penting dari segi sejarah. Kelazimannya, dari daya usaha al-Biruni, dia akan menjelaskan asal-usul herba tertentu termasuklah kenyataan-kenyataan sejarah dan tafsiran-tafsiran ilmuwan lain. Dia turut menyertakan unsur-unsur budaya dan akhlakiah yang diselitkan bersama kegunaan dan khasiatnya. Ini dilakukan dengan penuh bijaksana dan ilmiah. Memetik satu contoh:

“Dikatakan bahawa chah (tea) adalah perkataan Cina merujuk kepada sejenis herba yang tumbuh di tempat tinggi di negara itu. Terdapat berbagai-bagai jenis yang dibezakan menurut warna: Setengahnya putih, ada yang hijau, ungu, kelabu dan hitam.

Orang Cina dan Tibet memasaknya, dan menyimpannya dalam bekas berbentuk kiub selepas mengeringkannya. Teh mempunyai ciri-ciri air dan mempunyai khasiat dalam mengatasi kemabukan. Dengan sebab itu ia dibawa ke Tibet di mana masyarakatnya kuat minum arak, dan tiada ubat yang lebih mujarab bagi mengatasi kesannya dari herba ini. Orang yang membawanya ke Tibet tidak menerima bahan tukaran lain selain dari kesturi. Dalam buku Akhbar al-Sin disebut bahawa harga 30 beg teh ialah sedirham, dan rasanya manis bercampur masam. Apabila direbus masamnya hilang... Seorang raja Cina yang marah terhadap seorang pegawainya telah membuangnya ke kawasan pergunungan. Pegawai itu mendapat demam dan pada suatu hari dengan susah payah dia berjalan dalam keadaan lemah menuju ke lembah gunung. Dia dalam keadaan lapar dan kebetulannya menjumpai pokok-pokok teh, lalu dimakan daunnya. Selepas beberapa hari demamnya mula berkurangan, lalu dia terus memakan dauh teh hinggalah sembuh sepenuhnya. Seorang pegawai lain kebetulan melalui tempat itu dan menjumpai pegawai yang sembuh itu lantas menceritakan kepada raja tentang apa yang berlaku. Raja memerintahkan kajian dilakukan terhadap teh dan tabib-tabib baginda menyenaraikan kebaikannya kepada baginda. Mereka juga memasukkan teh ke dalam kaedah perubatan.”

Banyak sebab kenapa al-Biruni mendapat pujian tinggi dari sarjana Barat seperti Dr. Edward Sachau, DeBoer dan lain. Dia tidak pernah sesat dalam hutan maklumat yang tidak perlu, sebaliknya memastikan langkahnya sentiasa berada dalam landasan pencari kebenaran. Penilaiannya yang objektif terhadap masalah semasa dan kontroversi menghalang tulisan-tulisannya dari dicemari racun dan sangkaan buruk yang membawa kepada sikap berat sebelah dan berpihak.

Secara semula jadinya, al-Biruni berbakat besar dalam ilmu sains tepat (exact sciences). Dari usia 17 tahun, dia arif bagaimana menentukan aras tempat, dan empat tahun kemudian menyempurnakan bulatan bertingkat (graduated circle). Astronomi, geodesi, meneralogi, botani, farmasi, tidak ada bidang yang tidak menarik minatnya dan tidak diberi sumbangannya. Deduksi dan intuisi sains fizikal dan tabii, dalam ruang lingkup masing-masing telah digunakan secara berterusan oleh al-Biruni.

Abdullah b. Mas‘ud meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Jangan berharap menjadi orang lain kecuali dalam dua keadaan. Pertama: Seorang yang Allah kurniakan kekayaan dan dia belanjakan pada jalan yang benar. Kedua: Seorang yang Allah kurniakan kebijaksanaan dan dia mengamalkannya dan mengajarnya pada orang lain.

Al-Biruni memiliki kedua-duanya, dan dia meninggalkan warisan yang akan terus dikaji dan dicontohi oleh generasi akan datang.