2007年4月29日日曜日

“Jangan sempit makna Islam”

Mukadimah
DALAM ucapan dasarnya sebagai Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat satu penegasan yang penting mengenai Islam Hadhari.

Katanya, ia bukan cek kosong untuk menghidupkan semula pendekatan konservatif atau membenarkan cara hidup yang terlalu bebas dan permisif.

Tegas Abdullah, ada kekeliruan dan salah penerimaan mengenai pendekatan Islam Hadhari sehingga membawa kepada bercambahnya sikap konservatif atau radikal di kalangan umat Islam.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas bagaimanapun mempunyai pandangan yang lain tentang punca kekeliruan tersebut.

“Ini berpunca daripada proses penyempitan fikiran umat Islam mengenai pandangan hidup Islam dan agama Islam itu sendiri,” katanya kepada wartawan NOOR AZAM SHAIRI dalam satu temu bual petang Jumaat lalu.

Sepanjang wawancara itu, Dr. Syed Ali tidak menyembunyikan rasa jengkelnya terhadap sesetengah golongan agama yang gagal memahami dan melihat Islam sebagai agama yang syumul sebaliknya mengecilkan cakupannya sehingga hanya menyentuh soal halal dan haram. “Mereka itu bukan ulama yang sebenarnya,” katanya.

Beliau melihat ada banyak tanggungjawab yang sepatutnya dikerjakan oleh mereka yang bergelar ustaz dan ulama tetapi tugas-tugas itu tidak mereka kerjakan. “Sana sini tangkap orang berkhalwat. Ada banyak lagi masalah di negara ini. Kenapa kita membazir usaha dan tenaga semata-mata untuk itu?” tanya beliau.

Kekeliruan mengenai Islam Hadhari itu, kalaupun ada, katanya, hanyalah sekitar soal istilah. Hal itu pula sudah beliau jelaskan dengan terang dalam bukunya Abdullah Ahmad Badawi: Revivalist of an Intellectual Tradition, yang turut memuatkan satu bab biografi Perdana Menteri tulisan Ng Tieh Chuan.

MINGGUAN: Apa pandangan Dr. mengenai kenyataan Perdana Menteri bahawa ada salah tafsir tentang Islam Hadhari?

SYED ALI: Islam Hadhari itu pendekatan politik semata-mata, bukannya pendekatan agama, dan ini telah dijelaskan dengan terang oleh Perdana Menteri semasa parti pembangkang riuh dengan cercaan bahawa itu agama baru dan mazhab baru. Radikalisme dan liberalisme berlaku bukan kerana salah tafsir Islam Hadhari tetapi penyempitan fikiran umat Islam dalam pandangan hidup Islam dan terhadap agama Islam itu sendiri.

Salah tafsir itu berlaku mungkin kerana penggunaan istilah dalam Islam Hadhari itu sendiri. Islam itu menjadi kata nama dan hadhari itu kata sifat. Ini bermakna ia sejenis Islam. Mana ada jenis Islam; Islam hanya satu! IKIM sendiri sudah menjelaskan sejak awal lagi sekiranya yang dimaksudkan ialah masyarakat Islam Hadhari, itu lebih tepat dan memang itu juga yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri selama ini.

Perdana Menteri sudah menjelaskannya dalam kerangka itu melalui beberapa ucapannya termasuk pada sidang kemuncak luar biasa Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di Mekah tahun lalu. Beliau menjelaskan bahawa ini pendekatan siasah untuk Malaysia, dan ia boleh disebarluaskan terutamanya kepada negara-negara dunia ketiga. Ini kerana pendekatan Islam Hadhari merujuk kepada soal memahami dan menyelesaikan masalah-masalah masa kini menurut kerangka pandangan hidup Islam.

Islam itu agama yang syumul dan sempurna. Oleh kerana itu semua permasalahan manusia sudah terjawab dalam al-Quran dan hadis; agama lain tidak ada begitu. Jadi apa salahnya kalau ada negara-negara lain termasuk yang bukan Islam menerima pendekatan Islam untuk mencari penyelesaian kepada masalah-masalah dalam suasana politik mereka. Bukan kita kata mereka mesti terima Islam, cuma mengambil konsep yang ada dalam Islam.

Apakah salah faham tentang Islam yang cukup ketara di negara ini sekarang, baik di kalangan orang Islam mahupun bukan Islam?

SYED ALI: Tidak tepat untuk kita mengatakan orang bukan Islam itu keliru tentang Islam. Apa yang lebih tepat ialah orang bukan Islam sendiri keliru mengenai pendekatan yang mereka ambil (mengenai hidup) kerana ia mencerminkan kesempitan fikiran. Malah kebanyakan perkara yang diajukan sekarang mengenai tindakan majlis perbandaran memusnahkan kuil dan tokong misalnya, bukan merujuk kepada sikap agama Islam tetapi lebih kepada soal-soal pentadbiran.

Warganegara yang beragama Kristian, Buddha dan Hindu di negara ini tidak merendah-rendahkan agama Islam. Apa yang mereka marah ialah perbuatan orang Islam yang sewenang-wenangnya menggunakan agama sebagai dalil dan kekuatan mereka. Kita tidak boleh menyalahgunakan agama untuk kepentingan sendiri. Masalah kita sekarang, kita hanya mementingkan aspek ritual sahaja – pergi sembahyang, pakai kopiah, pakai hijab, tetapi soal-soal akhlak kita abaikan. Ini pengabaian terbesar.

Apa punca kekeliruan mengenai Islam itu?

SYED ALI: Pertama, memang betul, puncanya daripada orang Islam sendiri. Kedua, daripada unsurunsur luar yang bukan Islam. Tetapi kalau orang Islam sendiri peka dan berakal fikiran sempurna unsur-unsur yang bukan Islam tentu boleh dikalahkan. Namun yang merosakkan orang Islam ialah orang Islam sendiri.

Mereka menyalahtafsir dan menyempitkan fahaman agama sehinggakan semuanya disimpulkan di bawah halal dan haram. Islam itu universal. Ia bukan hanya untuk semua umat manusia tetapi apa saja yang perlu kita ketahui tentang hubungan antara manusia dengan Allah serta hubungan antara manusia dengan alam. Kalau Islam ini hanya dalam lingkungan halal dan haram ertinya kita sudah menyempitkan fahaman agama. Tidak boleh, itu bukan hasrat Islam. Islam ialah untuk meluaskan ilmu seseorang, bukan menyempitkan.

Kalau kita rujuk sejarah, ulama-ulama lampau seperti Imam Syafii, Imam Malik, Imam Hambal, Al- Ghazali, Ibnu Sina, Ar-Razi, semuanya mengembangkan kefahaman kita tentang banyak perkara, memberikan kefahaman yang bermakna. Tetapi pada zaman sekarang, sesetengah mereka yang digelar ustaz dan ulama ini sebenarnya bukan ulama. Mereka hanya tahu satu perkara, menyempitkan ilmu kepada syariah, itu saja. Islam tidak khusus kepada satu perkara, hanya syariah atau halal dan haram padahal dalam Islam itu ada segala-galanya, tentang pendidikan, ekonomi, pengurusan, demokrasi dan sebagainya.

Kita tidak boleh menyempurnakan fikiran sekiranya kita hanya memberikan pengkhususan kepada satu perkara dan menyatakan bahawa hanya satu perkara itulah Islam. Inilah masalah paling ketara sekarang. Saudara sendiri biasa mendengar ucapan di sana sini yang selalunya dimulakan dengan “dalam Islam begini, dalam Islam begitu” seolah-olah dia betul-betul faham segala-galanya tentang Islam – tentang tamadun, pandangan hidup, falsafah dan sebagainya. Kalau begitu, maknanya dia lebih hebat daripada Ibnu Kathir yang menulis berjilid-jilid tafsir tentang al-Quran.

Islam sedang disempitkan kepada soal halal dan haram. Apakah ini buktinya bahawa Islam dirampas (being hijacked) oleh pihak tertentu sehingga melahirkan kekeliruan ini?

SYED ALI: Mereka yang hijacked Islam ini menggelarkan diri mereka sebagai ulama dan ustaz tetapi sebenarnya mereka bukan ulama dan ustaz. Hanya orang melihat mereka sebagai ulama dan ustaz. Mereka sebaliknya membawa orang Islam kepada kekusutan, dan bukannya faham yang bermakna. Itulah masalahnya di kalangan orang yang kita gelarkan sebagai ulama besar, sheikh dan sebagainya.

Kalau kita halusi takrif ulama, ia kata jamak kepada ‘alim (orang berilmu) yang datang daripada perkataan ‘ilm (ilmu). Ertinya, ulama itu harus mencerminkan ilmu. Ilmu itu pula mestilah yang menunjukkan pertalian antara kita dengan alam dan makhluk serta antara kita dengan Tuhan. Apa yang disampaikan oleh ulama mesti membawa kepada faham yang bermakna supaya apa yang lahir adalah kefahaman dan kesusilaan, dan bukannya kemelut dan kekeliruan. Kalau ia membawa kepada kemelut dan kekeliruan, itu bukan ulama namanya kerana mereka tidak mencerminkan ilmu.

Kalau kita lihat sekarang, yang selalu dikhutbahkan ialah hubungan antara kita dengan Allah. Bagaimana pula hubungan kita dengan makhluk yang lain, dengan bumi ini dan sebagainya? Hal-hal yang itu mereka tidak pernah hendak bercakap.

Kita baru-baru ini dikejutkan dengan larangan kepada orang Islam daripada mengucap selamat kepada penganut agama lain sempena perayaan mereka. Apa pandangan Dr.?

SYED ALI: Saya ditegur kerana mengeluarkan kenyataan bahawa orang yang mengeluarkan arahan itu tidak sempurna untuk menjadi penasihat syariah, dan lebih baik dipecat. Tetapi kalau kita fikirkan betul-betul, orang Melayu tidak mengucapkan “Selamat Deepavali” tetapi “Selamat Hari Deepavali. Orang Melayu sedia maklum bahawa ia merujuk kepada hari perayaan, dan bukannya agama Hindu. Apabila kita melafazkannya kita tidak merujuk kepada Tuhan mereka. Jadi apa masalahnya? Orang yang faham syariah sepatutnya tahu perbezaan ini. Apabila kita mengucapkan selamat kepada penganut agama lain sempena perayaan mereka, apakah kita berniat untuk memuja agama dan Tuhan mereka? Tidak, kita hanya berharap mereka bergembira pada hari perayaan mereka, itu saja.

Bagaimana boleh jadi begini?

SYED ALI: Inilah akibatnya apabila orang yang menggelarkan diri mereka sebagai ustaz dan ulama menyempitkan fahaman agama kepada hanya halal dan haram. Ini sudah jadi macam orang Yahudi Talmud, yang menyempitkan ajaran kitab Taurat kepada hanya sebagai perlembagaan undang- undang dan bukan lagi agama. Kita akan terjebak ke jalan yang sama kalau kita tidak berjaga-jaga.

Apakah tanda-tanda itu sudah ada?

SYED ALI: Ada – sikit-sikit tak boleh; itu tak boleh, ini tak boleh. Ucap selamat kepada penganut agama lain sempena perayaan mereka tidak boleh, syirik kononnya. Inilah yang berlaku apabila agama Islam itu disempitkan. Kita mesti faham kaitan antara ilmu, alam dan al-‘Alim iaitu Allah. Ulama mesti mampu memberikan kefahaman kepada kita mengenai ketiga-tiganya.

Orang melihat toleransi antara kaum di negara ini sedang terancam.

SYED ALI: Toleransi itu perkataan Inggeris daripada bahasa Latin, tolerantia yang bermaksud kemampuan untuk menahan diri dalam suasana yang tidak selesa. Tetapi pengertian toleransi dalam Islam bukan hanya setakat menahan diri tetapi menerima seadanya serta mengampuni kekurangan dan kelemahan yang ada.

Kita hidup dalam satu masyarakat yang majmuk. Sebagai orang Islam, kita arif dan sedar bahawa Islam itu agama yang paling sempurna tetapi kita tidak pula mengatakan orang yang bukan Islam itu sebagai “oh, awak ini kafir”; mana kita tahu? Dalam sejarah tamadun Islam pun, orang bukan Islam tidak pernah digelar kafir kerana beban mengatakan orang lain kafir itu sangat berat.

Dalam tamadun Islam, orang bukan Islam yang tinggal bernaung di bawah negara Islam digelar dzimmi. Kalau kita mengaku Malaysia ini sebuah negara Islam, orang bukan Islam di negara ini tidak boleh digelar kafir tetapi dzimmi, jika ada keharusan untuk memberikan istilah. Tetapi apa bezanya dengan memanggil mereka sebagai orang bukan Islam?

Dalam bahasa Arab, falsafah untuk toleransi ini ialah samahah. Itu sebabnya barangkali mufti-mufti di negara ini digelar sahibus samahah kerana mereka mestilah seseorang yang ada akal fikiran dan budi pekerti yang boleh melayan semua orang dengan adil. Maksudnya, dia boleh memaafkan perbuatan orang bukan Islam yang tidak boleh diterima oleh agama Islam kerana mereka itu masih manusia ciptaan Tuhan. Samahah itu mencerminkan kemaafan, kemuliaan hati dan kedudukan yang dihormati. Tolerantia itu sebaliknya tidak ubah seperti bom jangka yang suatu masa nanti boleh meletup.

Bagaimana Dr. melihat usaha-usaha mencabar kedudukan agama Islam di negara ini?

SYED ALI: Sebenarnya masalah-masalah yang dihadapi dan dibangkitkan oleh orang bukan Islam itu bukannya soal agama tetapi apa yang dilakukan oleh orang Islam. Kebimbangan mereka itu saya boleh faham tetapi janganlah babitkan soal agama. Kalau kita mengatakan Islam itu agama yang universal, aman dan bertimbang rasa, kenapa hendak dipersoalkan tentang Islam? Apa yang boleh dipersoalkan ialah tentang penganut agama Islam, fahaman-fahaman yang mereka bawa dan cara-cara mereka mengamalkan Islam – itu tak boleh, ini tak boleh, tidak ada perikemanusiaan dan sebagainya. Itu yang mereka (orang bukan Islam) marah.

Tetapi saya hendak tanya juga, kalau orang bukan Islam itu hendak memeluk agama lain selain daripada Islam kenapa tidak ada bising-bising? Padahal mereka (orang bukan Islam) selalu menyebut “biarlah kami mengamalkan agama kami secara bebas” tetapi apabila ada di kalangan mereka yang hendak masuk Islam, ia jadi masalah. Kenapa?

Saya fikir ini kerana mereka menyamakan kedudukan Islam dengan Melayu, masuk Islam itu dikatakan sebagai masuk Melayu. Tetapi Melayu itu terlalu nasionalistik, dan sekarang menjadi xenofobia (takut kepada orang asing). Takrif Melayu juga sudah disempitkan, lebih merujuk kepada rupa paras seseorang dan bukan lagi tentang pegangan agamanya, amalan budayanya dan pertuturan bahasanya.

Ada kecenderungan di kalangan orang bukan Islam mahu bercakap bagi pihak orang Islam. Pandangan Dr. mengenai keadaan ini?

SYED ALI: Bagaimana mereka boleh buat begitu? Mereka tidak tahu mengenai Islam. Ini tidak masuk akal. Kalau hendak bercakap tentang sejarah, falsafah dan tamadun Islam, tidak mengapa tetapi bukannya tentang akidah, Rukun Islam, Rukun Iman dan sebagainya. Apa tujuannya? Mereka tidak percaya Islam sama sekali, kenapa hendak bercakap tentang Islam?

Saya bukan kata orang bukan Islam langsung tidak boleh sentuh soal Islam, tetapi apakah hal-hal yang mereka suarakan itu. Kalau mengenai akidah, al-Quran dan Sunnah, mereka tidak layak untuk bercakap mengenainya. Mereka tidak akan memberikan manfaat kepada orang Islam, malah hanya membuatkan orang Islam menjadi was-was.

Kalau mereka sudah belajar mengenai Islam, tidak mengapa kerana mereka mungkin ada authority seperti sesetengah cendekiawan Barat yang mendalami Islam, yang lebih arif tentang falsafah dunia Islam berbanding orang Islam sendiri.

Perdana Menteri menghantar mesej tegas beliau akan melindungi Islam. Apakah ketegasan itu harus dicurigai oleh orang bukan Islam?

SYED ALI: Saya boleh faham kebimbangan mereka itu. Saya sendiri pun bimbang melihatkan mereka yang diamanahkan (oleh kerajaan) untuk melindungi Islam itu tidak berkelayakan untuk berbuat demikian. Mereka berkuasa saja tetapi tidak berkemampuan untuk memahami Islam dengan sempurna dan adil. Ini yang membimbangkan golongan bukan Islam, dan kebimbangan itu ada kewajarannya. Ini kerana tindakan-tindakan yang dilakukan sekarang tidak menunjukkan semangat Islam sebaliknya lebih kepada penyempitan faham Islam yang sebenar, salah guna kuasa dan ketidakadilan.

Apakah Islam itu dirosakkan imejnya oleh orang Islam sendiri?

SYED ALI: Bukan semua orang Islam. Hanya orang Islam yang tidak layak untuk diberikan kuasa dan tidak layak dipanggil sebagai ulama. Kita mendengar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dikritik di Parlimen dan dalam Perhimpunan Agung UMNO. Saya sudah mengatakan hal ini sejak bertahun-tahun, bukan hanya sekarang. Ayah saya (Syed Muhammad Naquib Al-Attas) sudah 45 tahun memberi seruan menulis buku Risalah untuk Kaum Muslimin tetapi orang tidak baca. Beliau sudah kata 45 tahun lalu perkara ini akan berlaku tetapi orang tidak mahu mendengar.

0 件のコメント: