2008年1月6日日曜日

Kemelut pemikiran agama

Oleh: DR. SYED ALI TAWFIK AL-ATTAS

SEWAKTU sampai di pejabat sehari selepas Krismas, saya perhatikan ada satu halaman daripada akhbar The Sun bertarikh 24 Disember 2007 telah diletakkan di atas meja saya. Ternyata kemudian yang ia adalah satu makalah berjudul “Pemimpin gereja menjelaskan penggunaan perkataan ‘Allah’. Saya mula membaca rencana tersebut, dan semakin jauh saya menekuninya semakin memuncak tekanan darah saya. Sesudah meneliti laporan tersebut dan memahami isi kandungannya, dari sedikit gusar saya jadi betul-betul berang.

Joseph Masilamany mengemukakan pendapat bahawa “penggunaan perkataan ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan di kalangan penganut agama Kristian telah diamalkan dengan meluas untuk beberapa generasi di banyak negara dan bukan bertujuan menyinggung perasaan atau mengelirukan masyarakat Islam”, ini tentunya menurut para pemimpin Kristian. Wartawan tersebut menemu ramah penyunting akhbar mingguan Katolik tempatan, Paderi Lawrence Andrews, dan agaknya turut berbicara dengan Setiausaha Agung Majlis Gereja-Gereja Malaysia, Rev. Herman Shastri. Paderi Lawrence dilaporkan mendakwa, “istilah ‘Allah’ yang digunakan oleh orang Kristian atau dalam tulisan mereka tidak bermaksud menggusarkan masyarakat Islam atau mencetuskan kekeliruan. Kami mengikut Bible. Bible dalam bahasa Melayu menggunakan ‘Allah’ sebagai terjemahan istilah God dan ‘Tuhan’ sebagai terjemahan untuk istilah Lord.”

Beliau seterusnya mendakwa bahawa “mulai awal abad ke-19, para penganut Katolik di Malaya telah pun memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan perkataan ‘Allah’ telah digunakan sebagai terjemahan kepada istilah God.” Beliau turut menyatakan bahawa “para penganut Katolik Malta juga menggunakan perkataan ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan dan demikian juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.”

Menurut Rev. Herman Shastri, “para penganut Kristian yang tinggal di negara-negara majoriti Muslim menggunakan kalimat ‘Allah’ apabila merujuk kepada Tuhan dalam upacara doa umum (liturgy) mereka. Biarpun pihak berkuasa tidak membenarkan penggunaan perkataan-perkataan tertentu, pihak gereja akan terus memakainya kerana perkara ini bersangkut-paut dengan buku-buku suci kami (huruf condong adalah penegasan saya). Pendapat yang serupa turut dinyatakan dalam satu laporan terbitan akhbar The Star pada 28 Disember 2007.

Apa yang mendukacitakan adalah cara dua wakil Kristian tadi menghujahkan dasar pendirian mereka, yang, pada hakikat sebenarnya, hampa dari pertimbangan yang bernas lagi benar.

Biarlah saya tegaskan bahawa dakwaan yang mereka tidak berniat “menyinggung perasaan masyarakat Islam atau menimbulkan kebingungan” sarat dengan unsur perbantahan. Hakikatnya, perlakuan dan sikap mereka dalam mengemukakan hujah telah pun menggusarkan orang Islam. Mereka lupa, atau tidak memahami hakikat bahawa bahasa dan fikiran, yang satunya saling mencerminkan yang satu lagi; dalam perkataan lain, cara untuk mempengaruhi pemikiran adalah melalui bahasa, dan bahasa memberikan kesan terhadap cara seseorang berfikir. Kita telah diperingatkan akan dakwaan mereka, “Bible bahasa Melayu menggunakan ‘Allah’ untuk God dan ‘Tuhan’ untuk Lord.” Jelas bahawa makna-makna bagi istilah tersebut dalam Bible bahasa Melayu yang mereka rujuk, adalah salah. Apakah mereka ingin menunjuk dan mengajar orang-orang Melayu mengenai peristilahan yang betul dalam bahasa Melayu? Bahasa Melayu memahami istilah ‘Tuhan’ untuk merujuk kepada God dan bukan istilah Lord. Orang-orang Melayu faham bahawa apabila istilah Arab ‘ilah’ digunakan, ia merujuk kepada istilah Inggeris ‘God’ dan istilah Melayu ‘Tuhan’; dan apabila istilah Arab ‘rabb’ digunakan, ia merujuk kepada istilah Inggeris ‘Lord’. Justeru, apabila kalimah syahadah diterjemahkan dalam bahasa Melayu, bunyinya “tiada Tuhan melainkan Allah”, yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai “there is no God except Allah”. Sekiranya istilah ‘God’ diterjemahkan sebagai ‘Allah’, maka terjemahan tersebut akan berbunyi “Tiada Allah melainkan Allah” (“There is no Allah but Allah”), yang merupakan satu percanggahan. Terjemahan yang sebegitu janggal bukan sahaja tidak menjernih dan menyelesaikan masalah, bahkan akan menimbulkan perselisihan dan rasa bingung. Akan tetapi, Paderi Lawrence sememangnya sarat dengan percanggahan. Beliau menggunakan rangkai kata ‘bahasa Malaysia’ merujuk kepada bahasa yang digunakan dalam terbitan mingguan mereka untuk memenuhi keperluan “ramai penganut Katolik yang bertutur dalam bahasa Malaysia” di negara ini. Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya berhujah dengan menggunakan peristilahan yang terdapat hanya dalam bahasa Melayu. Apabila seseorang itu merujuk kepada satu bahasa yang mencerminkan faham-faham maknawi ajaran-ajaran atau kelaziman aqidah yang tertentu – dalam hal ini bahasa Melayu – dia tidak seharusnya melalaikan pengertian penting bahasa tersebut bernisbah kepada bahasa-bahasa yang lain. Walau bagaimanapun, jelas bahawa Paderi Lawrence bergantung kepada fakta yang Jemaah Menteri memutuskan bahawa bahasa Melayu tidak lagi dirujuk sebagai ‘bahasa Melayu’, tetapi sebagai ‘bahasa Malaysia’. Itu ketetapan siasah dan justeru itu mungkin hanya bersangkutan dengan medan siasah. Secara ringkasnya, bahasa Melayu khusus bernisbah kepada orang-

orang Melayu. Ia adalah satu bahasa yang faham- faham utamanya yang berkenaan dengan hakikat insan dan nisbah antara yang kudus dengan yang nista (the Sacred and the profane) telah dilahirkan dari rahim agama Islam dan kebudayaan Melayu – budaya Melayu itu sendiri terhasil dari agama Islam. Oleh itu, sekiranya peristilahan dari agama lain mengenai faham-faham utama diterjemahkan dalam bahasa Melayu, ia wajiblah mencerminkan kelaziman Melayu, yang berpunca dari agama Islam.

Paderi Lawrence juga mendakwa, “Kami mengikut Bible,” mengenai penggunaan istilah ‘Allah’ bila merujuk kepada istilah ‘God’. Apakah itu benar? Apakah beliau betul-betul menggunakan Bible sebagai sumber rujukannya? Terjemahan atau versi Bible mana yang beliau rujuk? Terdahulu kita telah memetik laporan media bahawa Paderi Lawrence mendakwa, “semenjak awal abad ke-19, para penganut agama Katolik di Malaya telah memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan ‘Allah’ digunakan merujuk kepada God, dan para penganut Katolik Malta juga menggunakan istilah ‘Allah’ untuk merujuk God dan demikian juga para penganut Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.” Jelas di sini bahawa, sumber rujukannya bukanlah Bible seperti yang didakwanya, tetapi masyarakat Katolik abad ke-19 Malaya, Malta, Indonesia, Pakistan dan Asia Barat. Dengan demikian, Paderi tersebut mengandaikan masyarakat itu satu kejadian hidup (being) yang pasti boleh berfikir dan bertindak berdasarkan akal fikiran. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, masyarakat bukanlah kejadian hidup dan justeru itu tidak mempunyai kebolehan berfikir dan bertindak secara aqliah. Sekiranya sesuatu itu tidak boleh berfikir secara aqliah, bagaimana ia boleh dikutip sebagai sumber rujukan yang sah, apatah lagi dalam hal-ehwal nisbah hubungan antara yang kudus dan yang nista? Tambahan pula dan lebih penting, perkataan ‘Allah’ adalah nama khas (proper name), sedangkan kalimat ‘Tuhan’ (‘God’) adalah istilah umum yang merujuk kepada objek tumpuan kemuliaan teragung yang tiada nama, Pencipta Yang Maha Esa dan Pemerintah alam semesta. Berdasarkan kepada hakikat bahawa perkataan ‘Allah’ adalah nama khas, ia bukanlah istilah yang mencerminkan bahasa kebangsaan. Justeru, hujah Paderi Lawrence yang mendakwa Bible Melayu menggunakan istilah itu, seolah-olah penggunaan istilah itu dalam bahasa Melayu mencerminkan bahasa kebangsaan, adalah karut semata-mata. Tambahan pula, walaupun seseorang itu mungkin mengakui bahawa benar orang-orang Kristian Arab di Asia Barat menggunakan istilah ‘Allah’, mereka tidak menggunakannya merujuk kepada istilah ‘God’ yang tercermin dalam Bible atau terjemahan-terjemahan Bible dalam bahasa Arab. Kalaupun mereka ada menggunakan istilah ‘Allah’ dalam pertuturan, itu adalah kerana mereka menuruti kelaziman orang Arab sejauh mana yang berkenaan dengan kebudayaannya, bukan untuk membayangkan sehimpun kepercayaan i‘tiqad yang tertentu. Pernahkah Paderi Lawrence atau Rev. Herman Shastri membaca terjemahan Bible dalam bahasa Arab? Apakah mereka memahami bahasa Arab?

Dari segi falsafah maknawi, tidak terdapat tasawur kefahaman mengenai ‘Allah’ dalam agama Kristian, dan dalam sebarang agama yang lain pun begitu juga; oleh kerana itu agama-agama tersebut tidak berhak untuk menggunakan istilah ‘Allah’. Apabila Perdana Menteri memberikan kebenaran kepada dialog ‘antara-agama’, pihak-pihak yang terlibat telah bersetuju yang dialog tersebut tidak akan bertentang hujah mengenai akidah, berdasarkan kepada hakikat bahawa pelbagai ajaran agama telah pun “bersetuju untuk tidak bersetuju” dalam perkara-perkara berkisar akidah. Secara amnya semua kalangan yang terbabit telah pun bersetuju dengan ketetapan tersebut. Walau bagaimanapun, sekarang, tampaknya Paderi Lawrence dan Rev. Herman Shastri tidak berpuas hati sekadar berbahas mengenai perkara-perkara akhlakiah, justeru kita terpaksa menangkis hal-ehwal berkaitan i‘tiqad yang ditimbulkan tadi.

Tidak ada disebut mengenai nama khas Tuhan dalam Bible. Jika ada yang mendakwa nama Tuhan adalah Jesus, maka kenapa istilah ‘Tuhan’ (‘God’) diterjemah dengan menggunakan kalimat ‘Allah’ dan bukan ‘Jesus’? Oleh kerana nama khas Tuhan tidak disebut dalam Bible, berlakulah suatu kekaburan mengenai siapa yang disembah. Apakah nama khas Tuhan dalam agama Kristian? Sesungguhnyalah kita boleh menghujahkan bahawa ketiadaan nama khas-Nya bercanggah dengan sifat Tuhan Yang Maha Mengetahui. Tidakkah Tuhan mencipta manusia supaya dia mengenal dan menyembah-Nya? Tetapi siapakah yang disembah oleh manusia sekiranya dia tidak kenal siapa Tuhan? Oleh kerana kita telah berhujah bahawa kalimat ‘Allah’ adalah nama khas dan pengertian sedemikian tidak ada dalam agama Kristian atau apa-apa juga agama lain, kita bolehlah dengan ini menyimpulkan bahawa sumber rujukan sebenar Paderi Lawrence dan Rev. Herman Shastri bukanlah Bible atau perkumpulan masyarakat Katolik abad ke-19 di Malaya, Malta, Indonesia, Pakistan, dan di Asia Barat, tetapi sumber asal mereka adalah al-Quran. Oleh itu, marilah kita meneliti apa yang dinyatakan dalam al-Quran mengenai siapa Tuhan. Untuk tujuan ini, kita rujuk kepada surah al-Quran yang ke-112 dan pengenalan tafsirnya. Pengantar huraian surah tersebut berbunyi,

Peliharalah iman agar sentiasa murni dan tiada cemar.

Allah benar wujud, Yang Maha Esa, Yang Maha Tunggal; Yang Maha Kekal Diperlukan, sunyi dari sebarang keperluan; kepada-Nya bergantung semua perkara, kepada-Nya kembali semua benda; Dia tidak beranak, berbapa atau berpasangan. Bagi-Nya tiada suatu pun tara. (Lihat Abdullah Yusuf Ali, The Meaning of the Holy Qur‘an, Brentwood, Maryland: Amana Corporation.)

Jelas bahawa bahagian akhir penerangan tafsir menyanggah pemerian Tuhan Tiga-Bersatu (Trinity) oleh Bible. Sekiranya pembaca meneliti surah itu, ia berbunyi,

Katakanlah: Dia adalah Allah, Yang Maha Esa. Allah, Yang Maha Kekal Abadi tiada berkesudahan. Tiada Dia beranak, dan tiada pula Dia diperanakkan. Dan bagi-Nya tiada suatu pun tara.

Dari awal-awal lagi nama Tuhan dinyatakan, Allah. Ini diikuti dengan pemerian bahawa Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa yang kepada-Nya pengabdian wajib diserahkan, maha suci lagi maha murni yang nyata tiada taranya dengan khalayak makhluk-Nya; sebarang benda yang lain semuanya hanya bayangan pucat bernisbah kepada-Nya. Allah tidak mungkin difahami sebagai memiliki anak atau bapa kerana itu akan memasukkan sifat benda bernyawa dalam kefahaman kita mengenai-Nya; sifat-sifat dan hakikat-Nya tunggal tersendiri tidak ada tara-Nya (ringkasan kepada catatan no. 6296, Abdullah Yusuf Ali, The Meaning of the Holy Qur‘an, Brentwood, Maryland: Amana Corporation, 1991, ms. 1714). Ayat “tiada Dia beranak, dan tiada pula Dia diperanakkan” menyangkal kefahaman agama Kristian mengenai Tuhan, “Bapa”, “Anak”, dan seterusnya (rujuk catatan no. 6299 dari sumber yang sama). Bahagian terakhir surah tersebut, Dan bagi-Nya tiada suatu pun tara memberi amaran “jangan menganggapi Tuhan dalam sifat rupa bentuk manusia (anthropomorphism), iaitu kecenderungan untuk menganggapi Allah menurut rupa dan bentuk serta sifat kita sendiri, satu kecenderungan licik yang menyusup dalam setiap zaman dan di kalangan semua bangsa (lihat catatan no. 6300 sumber di atas). Nyata bahawa ‘Tuhan’ Islam bukanlah ‘Tuhan’ Kristian. Saya nyatakan kepada para pembaca, bahawa pandangan Paderi Lawrence dan Rev. Herman Shastri tidak mencerminkan sebahagian besar penganut Katolik, gereja, atau Paus. Sesungguhnya niat serta tujuan mereka bukan sahaja untuk menyerang dan menimbulkan kekalutan di kalangan orang-orang Islam, tetapi juga para penganut Katolik. Kaedah mereka adalah melalui bahasa; akan tetapi, oleh kerana kita menghujahkan hakikat bahawa bahasa dan fikiran adalah saling mencerminkan satu sama lain, sebarang istilah dari satu tradisi pemikiran, apabila diterjemahkan perlulah membayangkan tradisi pemikiran yang asal, jika tidak maka makna sebenar peristilahan yang diterjemahkan akan menjadi kacau-bilau. Dalam hal ini, mereka menghujahkan bahawa menurut tradisi pemikiran Katolik istilah ‘God’ diterjemahkan dalam bahasa Melayu sebagai ‘Allah’, satu kalimat yang mencerminkan tradisi pemikiran Islam. Dan justeru itu, makna sebenar istilah asal ‘God’, seperti tergambar dalam tradisi pemikiran Katolik, dengan sengaja sedang dikelirukan.

Tadi telah kita sebut bahawa, dalam kenyataan yang dilaporkan akhbar The Star (28 Disember 2007), Paderi Lawrence menegaskan, “kami telah mengambil keputusan supaya kedudukan kami dari segi undang-undang mengenai penggunaan perkataan tersebut diselesaikan melalui ketetapan mahkamah.” Apakah mahkamah memiliki kuasa ke atas tradisi pemikiran agama? Apakah beliau berpendapat mahkamah memiliki kuasa membuat ketetapan mengenai siapa Tuhan? Apakah beliau menyangka mahkamah memiliki kuasa ke atas sekian banyak generasi ilmuwan dan sarjana terpelajar yang pandai lagi berkeahlian mengenai aqa‘id? Eloklah saya mengingatkan beliau, dalam surat peringatan dari pejabat Timbalan Perdana Menteri bertarikh 16 Mei 1986 berkenaan empat peristilahan Islam yang tidak boleh digunakan dalam Bible, dalam apa-apa jua keadaan iaitu: ‘Allah’, ‘Kaabah’, ‘Baitullah’, dan ‘Solat’. Difahamkan keputusan Kabinet itu masih mengikat; dalam hal ini, sebarang tindakan yang dikemukakan oleh pihak Paderi Lawrence ke mahkamah bukan sangat untuk mencabar kedudukan undang-undang berkenaan penggunaan oleh gereja Katolik akan kalimat ‘Allah’ untuk menterjemahkan istilah ‘Tuhan’ (‘God’) dalam Bible. Tetapi lebih dahsyat, ia satu cabaran yang menentang keputusan jemaah Menteri. Malaysia memiliki jemaah Menteri dan Parlimen perwakilan rakyat adalah bertonggakkan Rukunegara. Tiang seri pertama Rukunegara dalam bahasa Inggerisnya, “Belief in God” yang merupakan terjemahan cermat lagi tepat daripada bahasa Melayu “Kepercayaan kepada Tuhan”. Terjemahan Inggerisnya tidak berbunyi “Belief in Allah” kerana, barangkali kalau begitu Rukunegara akan dituduh sebagai memaktubkan Malaysia negara Islam atau Islamic State.

Anda tidak memiliki hak atau keizinan untuk menterjemahkan peristilahan yang terdapat dalam satu tradisi pemikiran akidah agama dengan menggunakan ungkapan-

ungkapan tradisi pemikiran akidah agama yang lain, khususnya ungkapan-ungkapan yang merujuk kepada siapa itu Tuhan yang tidak ada faham tasdiqnya dalam tradisi anda. Perlihatkan rasa hormat kepada istilah-istilah penting dan erti-erti maknawi yang mencerminkan agama Islam dalam bahasa Melayu, persis sikap orang Islam yang menghormati istilah dan faham dasar anda. Kami tidak merujuk tempat pemujaan anda selaku masjid, tetapi sebagai gereja, kuil, candi dan seterusnya. Kami tidak menganggap pemimpin sembahyang berkumpulan anda sebagai imam, melainkan selaku paderi, sami dan seterusnya. Kami tidak merujuk kepada tumpuan sembahan anda sebagai Allah tetapi sebagai Tuhan. Kami tidak menafikan hak mana-mana golongan penganut agama lain menterjemahkan buku suci masing-masing dalam bahasa Melayu; cuma, seandainya ada yang hendak berbuat demikian, maka golongan tersebut mestilah memiliki ilmu dan keahlian mengenai bahasa Melayu, cukup berdaya cipta lagi kreatif untuk menggunakan peristilahan yang benar-benar mencerminkan tradisi pemikiran akidah agama masing-masing. Sementara itu, adalah wajar bagi Paderi Lawrence Andrews dan Rev. Herman Shastri bersikap lebih teliti, waspada dan berhati-hati.